Atta didakwa persenda solat, dilaporkan ke polis
Laporan polis dibuat terhadap bintang YouTube terkenal Indonesia, Atta Halilintar, kerana didakwa melakukan penghinaan agama melalui sebuah klip video dimuat naik di Internet.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Agama Banten, Rohimmat, membuat laporan mengenai Atta dan pemuat naik video tersebut, Ridwan Swallow, di Ibu Pejabat Polis Jakarta Raya semalam.
“Kalau dalam solat ada adab, syarat, peraturan dan lain-lain. Jangankan main telefon genggam, loncat-loncat, melirik, atau batuk, tiga kali bergerak sudah batal solatnya.
“Tapi ni sengaja dibuat. Kami ada hak untuk menegur perkara berkaitan perbuatan mempersenda agama,” katanya dipetik Viva.co.id.
Untuk rekod, Atta yang meraih sebahagian besar pendapatannya sebagai bintang YouTube itu mempunyai hampir 20 juta pelanggan platform. Selain itu, dia juga merupakan seorang pengacara program televisyen.
Dalam video itu, Atta didakwa sengaja membaca ayat suci al-Quran dengan lambat ketika berperanan sebagai imam.
Tak mengaku baik
Beberapa saat kemudian, dia menjadi makmum, namun menjawab panggilan telefon daripada adiknya. Dia juga bermain-main kaki dengan adiknya.
“Video ini sudah dimuat naik sekitar tahun lalu. Namun, Ridwan sekali lagi mengulang naik tiga hari lalu. Ertinya, disengajakan perkara ni seolah-olah ingin memprovokasi umat Islam,” katanya.
Sementara itu, Atta melalui akaun Instagram mendakwa, ada pihak sengaja memburuk-burukkan namanya dengan menyunting video berkenaan.
Justeru, dia menyeru pengikut-pengikutnya mendoakan agar dia diberikan kekuatan untuk berdepan dugaan tersebut.
“Memakai namaku untuk menipu. Menyunting videoku untuk memburukkan namaku. Memutar belit cerita dan pengisianku untuk menaikkan ceritamu.
“Tuhan aku manusia biasa yang tak sempurna. Aku tak pernah mengaku orang baik, selalu anggap diriku jahat.
"Kuatkan aku, berikan kesihatan dan kekuatan untuk jaga kedua orang tua, keluarga, orang-orang aku sayang dan semua yang bergantung hidup denganku,” katanya.

