Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon senior perlu beri laluan pendatang baru

Seseorang aktor mahupun aktres yang sudah berada lama dalam industri perlu memberi laluan kepada muka baru yang mengecapi populariti tinggi, kata Ayda Jebat.

Menurut pelakon dan penyanyi itu, seseorang selebriti harus akur dengan lumrah kehidupan dalam industri hiburan - terutama soal tawaran dan bayaran lakonan - yang sentiasa ada pasang dan surutnya.

“Zaman berubah-ubah. Siapa pelakon lama perlu menerima keadaan walau siapa pun yang sedang berada di atasnya (popular) sekarang.

“Artis senior dah pernah merasai zaman glamor selain mempunyai ramai peminat, justeru bagi peluang kepada pelakon baru pula untuk meraih apa mereka pernah dapat,” katanya.

Menurut Ayda, 27, dirinya tidak terkecuali sekiranya populariti yang dimiliki suatu hari bakal merudum, tidak lagi seperti dikecapi hari ini.

“Situasi tu juga boleh berlaku pada saya. Akan ada waktunya pendatang baru muncul, saya pun tak boleh cakap apa pada waktu tu,” katanya.

Pemilik nama penuh Nur Suhada Jebat itu ditemui pada majlis pengumuman Stereo Fest di sebuah hotel, di Kuala Lumpur hari ini.

Stereo Fest, sebuah festival muzik Melayu yang pertama dan terbesar dijadual diadakan di Sentosa, Singapura selama dua hari bermula pada 22 Februari tahun depan. Ia bakal menampilkan 20 artis popular dari Malaysia, Indonesia dan juga Kota Singa itu.

Selain Ayda, antara barisan artis yang akan menjayakan Stereo Fest itu dari Malaysia, ialah New Boyz, Zee Avi dan 4U2C. Dari Indonesia, Judika dan Jaz manakala dari Singapura, Rahila Rashun serta ANBS.

Mengulas lanjut, pelakon drama Asalkan Dia Bahagia itu berkata, sesuatu bayaran diberikan produksi kepada pelakon baru wajarlah bersesuaian dengan kredibiliti bakat yang dimiliki.

“Jika lakonan tak bagus tapi dapat bayaran tinggi tak boleh la,” katanya.

Pada masa sama, Ayda berkata, dia sebenarnya tidak kisah mengenai bayaran diterima kerana menyedari wang hasil lakonan tidak mampu menjadikan seseorang itu kaya-raya.

"Saya lebih utamakan minat. Jika nak buat duit bukan dengan lakonan tapi dari royalti lagu, persembahan pentas atau endorsement misalnya," kata penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri Hati itu.

Sementara itu, Ayda turut memaklumkan dia bakal berlepas ke Makkah bersama keluarga dan rakan-rakan bagi mengerjakan umrah selepas berakhirnya Stereo Fest.

Kata Ayda, sudah lama dia memasang impian untuk ke tanah suci itu tetapi tidak kesampaian ekoran timbul pelbagai halangan.

“Dah lama nak pergi tapi banyak rintangan. Harap ibadah saya dipermudahkan,” katanya.

Lihat Komen
ADS