Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noorshila kongsi kisah lucu ketika bersama Orkestra Tentera Darat

Penyanyi terkenal tahun 80-an, Noorshila Amin mengimbau memori lucu sewaktu bergelar penyanyi Orkestra Tentera Darat (OTD).

Memori itu melibatkan perbualan dengan isteri pegawai tentera British yang bertanya sama ada dia merupakan anggota tentera ("Are you in the army?").

Bagaimanapun, dek kerana soalan itu diajukan dalam bahasa Inggeris menggunakan loghat British, Noorshila tersalah tafsir dan menjawab: "No, I'm not Indian, I'm Malay" (Tidak, saya bukan orang India, saya orang Melayu).

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Rambu Ramba itu kejadian berkenaan terjadi ketika isteri pegawai berkenaan ingin bersalaman dengan tentera yang sedang berbaris.

Menurutnya, isteri pegawai tentera itu sekali lagi mengulangi pertanyaannya, kemudian baru soalan tersebut dapat difahaminya.

“Selepas itu baru saya jawab, 'Ya saya seorang tentera',” katanya kepada Malaysiakini.

Noorshila Amin merupakan seorang penyanyi tempatan yang mula menempah nama pada 1983 antara lain menerusi lagu Kad Ucapanmu.

Sepanjang penglibatan Noorshila dalam arena seni suara, dia yang mesra dengan sapaan ‘Mama’ memiliki empat album studio antaranya Kad Ucapanmu (1989), Rambu Ramba (1990), Ahai Usahlah (1991) dan album terakhirnya berjudul Luahan Hati yang diterbitkan pada 2003.

Kini, Noorshila menjadi salah seorang peserta Gegar Vaganza musim enam (GV6) selain Jatt, Roy, Wann dan Nurfatimah yang layak ke pusingan separuh akhir.

Noorshila berpeluang mara ke pusingan akhir pada minggu ketujuh GV6 dengan lagu dipopularkan Nabila Razali berjudul Vroom Vroom.

Noorshila antara penyanyi tempatan yang bertuah kerana berpeluang menjadi salah seorang penyanyi OTD yang kini dikenali sebagai Badan Kesenian Tentera Darat.

Berkongsi pengalamannya sepanjang bekerja di bawah pengurusan Tentera Darat Malaysia itu, Noorshila berkata meskipun hanya bekerja sebagai penyanyi untuk majlis-majlis rasmi kerajaan dan acara istana, dia tidak terlepas daripada menjalankan tugas seperti tentera sebenar.

Katanya, hal itu termasuklah menjalani kursus dan latihan ketenteraan.

“Kena masuk hutan, berjalan guna kompas, tidur dalam hutan tanpa lampu, mandi sungai.

“Pengalaman dalam hutan, kami tak boleh tidur nyenyak setiap satu jam sebab mereka (tentera) akan baling mercun kononnya ada tembakan. Macam latihan sebenar…padahal baling mercun saja,” katanya.

Mempunyai pengetahuan dalam mengendalikan raifal tempur Colt M16 semasa menjalani latihan ketenteraan, Noorshila berkata khidmatnya dalam bidang tersebut tidak lama.

Kata Noorshila, dia hanya sempat menyertai OTD sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1983 dan 1987.

“Saya berhenti sebab saya berkahwin kemudian dapat peluang menyanyi sebagai residen artis di RTM bersama-sama Raisuddin (ayah kepada penyanyi Siti Sarah) dan ramai lagi.

"Lepas itu kontrak habis dan masuk semula ke OTD,” katanya.

Lihat Komen
ADS