The Who band pertama diabadikan di Music Walk of Fame
Kumpulan legenda rock terkenal British era 1960-an, The Who menjadi band pertama yang namanya dipahat atas Music Walk of Fame di London sempena acara perasmian tarikan budaya baru ala Hollywood Boulevard yang berlangsung semalam.
Mengambil inisiatif sama sewaktu pelancaran nama di Walk of Fame, anggota The Who masih hidup iaitu Roger Daltrey dan Pete Townshend bergambar dengan plak menyerupai sebuah rekod muzik diletakkan di daerah Camden, London yang sibuk.
Music Walk of Fame memberi penghormatan terhadap artis atau mana-mana individu yang bekerja dalam industri muzik.
Nama mereka akan dipaparkan di kawasan popular dalam kalangan pemuzik di Utara London seperti Roundhouse dan Koko.
"Camden sentiasa penting untuk senario muzik London yang berkembang pesat dan seperti yang kita tahu, ia hab terkenal dunia untuk seni.

"Sebagai penduduk London, ia sangat menakjubkan apabila diabadikan di Camden High Street apatah lagi mengetahui orang ramai berpeluang melihat pada bila-bila masa,” kata The Who dalam satu kenyataan.
Penganjur berkata, sebanyak 20 nama akan dipahat setiap tahun manakala mereka yang tersenarai dipilih oleh panel itu akan diberi penghormatan mengikut kategori seperti ikon, wira inovasi, inspirasi, industri dan artis tahunan.
Sebuah aplikasi juga dibina bagi membolehkan pelawat mengetahui sejarah industri muzik lebih lanjut.
Untuk rekod, ilham membina laluan kemasyuran seperti Music Walk of Fame bukan datang daripada jawatankuasa eksekutif muzik, tetapi daripada seorang budak lelaki berusia 10 tahun.
Adam Bennet berada di Los Angeles bersama bapanya, Lee, seorang pengurus persembahan dari London. Adam - kini berusia 16 tahun - mencadangkan adalah baik sekiranya idea sama diaplikasi di London sewaktu lawatannya ke Walk of Fame, Hollywood pada waktu itu.

