Belum selesai dua kes mahkamah yang melibatkannya, penyanyi Singapura, Aliff Aziz, menghadapi satu lagi pertuduhan di mahkamah negara itu.
Ia menjadikan kes ketiga yang dihadapi Afiff dalam tempoh hanya dua setengah bulan.
Seperti dilaporkan media Singapura penyanyi Selayaknya Aku itu dituduh berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dengan membuat isyarat tangan secara melampau sambil menjerit di Orchard Towers, Singapura pada jam 6.25 pagi.
Dia didakwa pada 10 Nov lalu.
Sebelum itu, tular rakaman video memaparkan Aliff Aziz bertengkar - juga di Orchard Road - melarikan diri sebelum berjaya ditangkap pihak berkuasa.
Penyanyi itu menjerit-jerit sambil cuba menghubungi seseorang menggunakan telefon bimbitnya, dipercayai ayahnya sementara enam anggota polis cuba menggarinya.
Dalam kes sebelumnya, Aliff dituduh mencuri wang seorang pelakon terkenal yang juga ahli politik Indonesia, Raja Yunika Perdhana.
Satu lagi kes yang melibatkan bekas suami Bella Astillah itu ialah tuduhan mencuri sekotak rokok dan pemetik api milik seorang lelaki di Starbucks Plaza, Singapura.
Aliff boleh dikenakan denda S$2,000 (RM8,331) atau penjara tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dia sepatutnya dihadapkan ke mahkamah pada Selasa lalu susulan kes curi itu tetapi kes tersebut ditangguhkan disebabkan adanya pertuduhan terbaru.
Sebutan semula kes itu dijadual berlangsung pada 9 Dis ini.
Sebenarnya kontroversi agak dekat dengan Aliff. Sebelum ini dia didakwa mencurangi isterinya sebanyak tiga kali.
Dia menikahi Bella pada 9 Sept 2016 tetapi bercerai pada 16 Mei lalu. Mereka dikurniakan seorang anak, Muhammad Ayden, yang kini berusia dua tahun.
