Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

“Ini pesta liar.... bukan liar yang itu tetapi lebih liar,” demikian lebih kurang kata M Nasir.

Memandangkan betapa “liarnya" konsert pada malam kedua, maka kehadiran saya ke Dewan Planery, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sepatutnya dirahsiakan daripada pengetahuan isteri.

Bagaimanapun, isteri saya - sebagai pengurus kewangan keluarga - menyedari ada kecacatan dalam bajet bulanan kami.

“Gaji naik bulan ni, tapi mengapa baki gaji sama saja?” tanya isteri.

“Memanglah sama, sebab kenaikan gaji tu dah beli tiket konsert M Nasir,” jawab saya.

Demikianlah permulaan saya untuk tiba untuk menyaksikan konsert M Nasir: Satu Hikayat 40 Tahun Perjalanan. Konsert itu dimulakan dengan kemunculan video menampilkan pak dalang memainkan patung wayang kulit sambil bercerita.

“Di sebalik perang mesti ada lagunya, dan di sebalik lagu mesti ada perangnya.” Begitulah antara dialog yang dituturkan pak dalang yang membayangkan bahawa perjuangan M Nasir dengan lagu-lagunya bagaikan suatu peperangan.

Kata-kata itu mengingatkan saya akan bait-bait lirik dalam lagu Perang Yang Lagi Satu.

Ringkas tapi menarik

Tiada gimik kemunculan M Nasir pada awal konsert untuk kali ini. Semasa konsert untuk filem Kembara Seniman Jalanan (1986) misalnya, M Nasir muncul dari dalam sangkar yang terbakar.

Gimik kemunculan yang paling diingati pula adalah semasa Akar: Manifesasi Akuistika pada 1995. M Nasir muncul dari dalam kain merah yang terbentang di tengah pentas. Bayi yang dijulang dan riak-riak berombak pergerakan kain merah menjadikan permulaan konsert dengan lagu Nusantara ini begitu teaterikal.

Apabila watak Pak Dogo (Sabri Yunus) dan Wak Long (Mat Rock) muncul di sisi kiri kiri pentas pada permulaan konsert, peminat kental dapat menangkap bahawa M Nasir akan memulakan persembahan dengan lagu Langgam Pak Dogo.

Kumpulan dikir barat Arjuna Sukma turut mengiringi M Nasir dalam lagu itu serta enam lagu lain di sepanjang konsert.

Reka bentuk pentas pula ringkas tetapi menarik. Pentas dapat dibahagikan kepada dua bahagian. Lantai atas menempatkan para pemuzik, kumpulan dikir barat Arjuna Sukma, dan penyanyi latar.

Lantai bawah pula ialah tempat M Nasir bergerak bebas sambil mengalunkan suaranya. Di situ jugalah tempat munculnya penari-penari darwish dalam lagu Bila Rumi Menari dan para pesilat dalam lagu Mantera Semerah Padi.

Layar elektronik juga terbahagi kepada dua bahagian. Layar utama yang besar menjadi latar belakang pentas dan satu lagi layar merentangi bahagian antara lantai atas dan lantai bawah.

Apabila video grafik dipaparkan pada kedua-dua layar, lantai atas akan kelihatan seperti satu jalur melintang atau pentas yang tergantung.

Susun atur pentas itu berjaya memaparkan persembahan visual yang memukau, tetapi bergantung pada tempat penonton berada. Pada hemat saya, penonton yang berada di tengah-tengah Dewan Planery yang menempatkan kerusi kelas Diamond, Platinum, dan Gold (bahagian hadapan) dapat menyaksikan persembahan visual paling menarik.

Konsert malam kedua terbahagi kepada tiga bahagian. Bahagian pertama, M Nasir telah menyampaikan tujuh lagu. Ketika itu ada penonton yang menyanyi bersama dan kebanyakannya masih duduk di tempat masing-masing.

Mereka bagaikan masih ragu-ragu untuk bangun dan beronggeng bersama.

Lagu-lagu yang didendangkan adalah seperti yang berikut:

1. Langgam Pak Dogo

2. Anak-anak Kita

3. Phoenix Bangkit

4. Keroncong Untuk Ana

5. Sentuhan Listrikmu

6. Bila Rumi Menari

7. Tari Cinta Rimba Mistikal

Untuk bahagian pertama, paling digemari ialah persembahan dalam lagu Tari Cinta Rimba Mistikal. Paparan grafik hutan dari padangan mata burung di kedua-dua layar dan warna hijau yang melatari lantai atas membuahkan visual yang selari dengan lirik lagu. Rimba bagaikan menari dan suasana mistikal terasa dalam persembahan berkenaan.

Bahagian kedua merupakan medley lagu-lagu ciptaan M Nasir yang pernah disampaikan oleh penyanyi lain, iaitu:

8. Kenangan Lalu (Flybaits)

9. Hingga Akhir Nanti (Alleycats)

10. Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats)

11. Milik Siapakah Gadis Ini (Sudirman)

12. Bercanda Di Pasiran Pantai (Sudirman dan Anita Sarawak)

13. Istana Menanti (Rahim Maarof)

14. Hani (Hattan)

15. Sentuhan Kecundang (Ekamatra)

16. Sampai Hati (Spring)

17. Fantasia Bulan Madu (Search)

18. Sejati (Wings)

19. Peronda Jaket Biru (Wings)

20. Pawana (Search)

Dalam bahagian kedua, para penonton semakin galak menyanyi bersama-sama. Ia menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja menggemari lagu-lagu dendangan M Nasir malahan mengenali lagu-lagu ciptaannya yang dipopularkan oleh penyanyi lain.

Bagi saya, persembahan lagu Bercanda Di Pasiran Pantai adalah paling energetik. Gabungan bunyi alat-alat tiupan semasa lagu asal dendangan Sudirman dan Anita Sarawak itu disampaikan begitu memukau.

Di samping itu, petikan gitar dan pukulan drum dalam lagu Hani juga sedap dan bertenaga.

Paparan pentas pada bahagian kedua itu minimalis saja. Di layar utama hanya terdapat grafik bertulis “M Nasir: Satu Hikayat” yang menjadi ikon konsert. Perubahan dari satu lagu ke satu lagu yang lain hanya ditandai oleh perubahan penataan cahaya.

Selepas bahagian kedua, M Nasir berhenti rehat dan pentas diambil alih oleh Sabri Yunus dan kumpulan dikir barat Arjuna Sukma. Sabri Yunus dan kumpulan dikir berkisah tentang asal usul budu.

Konsert diteruskan ke bahagian ketiga dengan suasana “parti yang semakin liar”. Baki lagu yang disampaikan adalah seperti yang berikut:

21. Ekspress Rakyat (intro sahaja)

22. Hati Emas

23. Perjuangan

24. Gerhana

25. Gurindam Gunung Tahan

26. Bikin Filem

27. Bukalah Hatimu

28. Hijab Kekasih

29. Mantera Semerah Padi

30. Sahabat Gua

31. Apokalips

32. Ada

33. Raikan Cinta

34. Tanya Sama Itu Hud Hud

35. Mustika

Kreativiti M Nasir juga terserlah dalam menampilkan kelainan lagu-lagu yang biasa disampaikannya dalam konsert. Oleh itu, penonton akan mengalami situasi persembahan yang berbeza walaupun lagu yang sama pernah disampaikan sebelum ini.

Misalnya, sebelum menyampaikan lagu Mantera Semerah Padi, dengan selamba M Nasir menyelitkan lagu Apo Kono Eh Jang (Ally Noor dan Mastura) melalui bait lirik, “batu kikir jambatan bosi, menuai padi tigo tangkai”.

Selepas itu, kedengaran bunyi serunai dan mantera yang dibacakan dalam dialek Kelantan. Mantera ini diakhiri dengan ungkapan, “Bukan katamu, kata Allah, berkat kata Lailahaillah. Fuhhhh...”

M Nasir pun mengambil tempat dan di tengah-tengah persembahan muncul pula sekumpulan pesilat berbaju merah di lantai bawah. Paparan di layar turut menunjukkan pesilat berbaju merah.

Situasi lagu lain menyelit bukan sahaja berlaku dalam Mantera Semerah Padi tetapi juga dalam dua buah lagu lain. Lagu I Feel Good (James Brown) tiba-tiba terselit di hujung lagu Bikin Filim dan lagu rakyat Wau Bulan diselitkan dalam lagu Bukalah Hatimu.

Dengan mengambil kira lagu-lagu yang terselit itu, maka benarlah kata M Nasir bahawa beliau telah menyampaikan hampir 37 buah lagu.

Staminanya pada usia 62 tahun dalam menyampaikan lagu-lagu juga amat dikagumi dengan pergerakan yang lincah seperti konsert-konsert yang terdahulu.

Memang diakui M Nasir ada terlupa lirik dan kelihatan janggal dalam beberapa momen persembahan. Namun demikian, peminat tegarnya amat maklum tentang hal ini dan dalam beberapa bahagian “membantu beliau melanjutkan persembahan”.

Seperti kebanyakan konsert lain M Nasir, Ada ialah lagu yang paling berpuaka. Jarang ada penonton yang duduk diam apabila mendengar lagu Ada.

M Nasir menyanyi dan berjoget dalam keadaan tenaga yang dikatakannya secara berjenaka tinggal 50 peratus. Lagu ini berlangsung dalam tempoh masa lebih kurang lapan minit. Masih sangat menyengat seperti selalu.

M Nasir sempat berkata: “Saya tidak mahu ada orang duduk.”

Katanya lagi semasa menyanyikan lagu Ada: “Kita robohkan tempat ini malam ini. Ini malam terakhir dan tak ada lagi, saya tak akan nyanyikan lagu ini lagi. Ini last saya nyanyi. Lagu ini la.”

Selepas lagu Ada, M Nasir seperti lazimnya membuat gimik seolah-olah persembahan akan berakhir. Sebelum keluar dari pentas, M Nasir mengucapkan terima kasih kepada para penonton dan teman artisnya yang hadir, Ramli Sarip dan Amy Search kerana memberikan sokongan kepadanya dalam dunia muzik.

Penonton tahu bahawa itu semua lakonan (yang tidak menjadi) dan seperti yang dijangka M Nasir masuk semula ke pentas untuk mengakhiri persembahan.

Pada kali ini, penonton semakin ghairah menyanyi dan menari bersama-sama mengikut alunan lagu Raikan Cinta dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Malahan pada penghujung konsert, beberapa penonton di tempat duduk Gold dan Platinum telah turun ke bahagian tangga di tempat duduk Diamond. Mereka menyanyi dan beronggeng sepuas-puasnya bagaikan sebuah “parti liar” yang terbimbing.

Konsert diakhiri dalam suasana syahdu dengan lagu Mustika yang dinyanyikan sekerat-kerat sambil M Nasir memanggil para pemuzik seorang demi seorang turun dari lantai atas ke lantai bawah. Para penari darwish, kumpulan dikir barat, para pesilat, dan penyanyi latar juga turut serta dipanggil.

Demikian berakhirnya sebuah hikayat yang bakal terpahat dalam ingatan peminat M Nasir. 

Pagi esoknya saya pulang dengan menaiki ETS ke kota basah, Taiping, dengan hati yang puas. Isteri yang menjemput saya di stesen mengingatkan bahawa itu konsert terakhir M Nasir yang saya boleh pergi.

Saya kata, “Mana boleh. Konsert M Nasir ni biar tak menyesal pergi daripada menyesal tak pergi.”


RIMANILZAH ialah 'peminat kipas mati' M Nasir yang acah-acah tak takut isteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS