Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penyanyi era 1990-n, Roy, 55, menyifatkan tidak ada yang istimewa bagi penyanyi sepertinya kerana dia tidak memiliki pakej yang lengkap terutama dari aspek paras rupa.

Dengan merendah diri, Roy berkata, peluang untuk tampil sebagai penyanyi sudah tidak sama seperti zaman kegemilangannya pada 20 tahun yang lalu kerana kehendak pasaran sekarang lebih mahukan penyanyi yang lengkap dan serba boleh.

"Orang akan panggil anda bila anda mempunyai pakej yang lengkap... mahukan yang kacak, lagu hit, tengok crowd sendirilah siapa yang bertahan. Perut buncit siapa mahu?" katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pertandingan Gegar Vaganza 6 (GV6) minggu lapan, di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam semalam.

Pada konsert bertemakan Reset itu, Roy, yang berada di senarai paling bawah disingkirkan dari GV6 setelah persembahannya gagal menambat hati para juri menerusi lagu Seniman Menangis dendangan asal Ismail Haron dan didendangkan kemudian oleh Jamal Abdillah.

Tambah Roy, keinginannya untuk kembali aktif di persada muzik tempatan itu sentiasa ada, namun, kurangnya peluang menjadi kekangan untuk dia tampil menghiburkan orang ramai.

"Tengok Jamal Abdillah, masih langsing, vokalnya masih di situ, banyak lagu hit. Saya apa yang ada? Lagu patriotik?

"Sekarang pun hari merdeka jarang sangat orang panggil (mengadakan persembahan)... bukan macam dulu," katanya.

Ditanya sama ada penyanyi lagu Ratnaku itu akan kembali menjalankan persembahan secara busking seperti sebelum ini, Roy memang berniat namun ia bergantung jika tidak ada undangan yang memerlukannya untuk mengadakan persembahan.

Langsung tidak berasa terkilan susulan penyingkirannya di GV6, Roy malah berasa lega dan reda atas ketentuan yang diberikan.

"Mungkin baik untuk saya... mungkin jika saya menang saya lupa diri," katanya berseloroh. 

Lihat Komen
ADS