Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas enggan mengulas desas-desus mengenai kedudukannya di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), hari ini pelakon, penerbit dan pengarah filem, Ahmad Idham, mengumumkan berundur dari agensi itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Finas hari ini Ahmad Idham akan meninggalkan jawatannya pada 10 Mac 2020 selepas memohon agar kontraknya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dipendekkan.

"Ahli Lembaga Pengarah Finas menerima dan meluluskan permohonan daripada CEO Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri untuk memendekkan tempoh kontrak beliau atas sebab-sebab peribadi," kata kenyataan tersebut.

Ahmad Idham yang mempunyai pengalaman 25 tahun dalam industri kreatif diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, menjadi CEO Finas yang baru untuk tempoh dua tahun bermula Mac lalu.

Bagaimanapun, dengan pengumuman hari ini, bermakna pengarah filem Pencuri Hati Mr Cinderella dan Adnan Sempit itu hanya sempat bertahan selama setahun saja di kerusi panas Finas itu.

Kenyataan pengunduran beliau pada Mac nanti juga memberi jawapan kepada spekulasi yang mengatakan beliau direhatkan daripada menjalankan tugasnya beberapa minggu sebelum ini.

Sebelum ini, terdapat desas-desus yang mengatakan Ahmad Idham direhatkan kerana terus menerus menerima kritikan pelbagai pihak.

Beliau yang dihubungi Malaysiakini pada awal bulan ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

Antara kritikan terbesar yang diterima pengarah itu sepanjang mengemudi Finas adalah apabila dia menggesa supaya kerajaan mengawal selia kandungan digital, termasuklah Netflix.

Malah ketika pengumuman pelantikannya sebagai CEO Finas baru-baru ini, Ahmad Idham turut menerima kritikan termasuk daripada Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

Pengasas Komfit, Al Jafree Md Yusop ketika itu menggesa agar agar Gobind memberikan justifikasi untuk perlantikan Ahmad Idham.

Lihat Komen
ADS