Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Selangor bakal wujudkan kelas agung untuk penulis baru

Kerajaan Selangor berhasrat mewujudkan master class - ataupun kelas agung - bagi membimbing pengkarya dan penulis baru agar mereka mampu menghasilkan karya kreatif dengan mantap.

Mengumumkan perkara itu akan dilaksanakan pada tahun depan, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata kelas agung itu yang akan dikendalikan oleh sasterawan-sasterawan negara ini.

Menurut Amirudin langkah itu akan menjadi agenda kerajaan negeri untuk memperkayakan dan membudayakan penghasilan karya kreatif selepas penubuhan Rumah Seni Selangor (Russel) di Petaling Jaya sebelum ini.

“Kerajaan negeri berhasrat untuk mewujudkan satu master class yang dididik oleh para sasterawan yang ada di hadapan kita (malam ini).

“Master class ini boleh mendidik penulis yang sedang mendaki, penulis baru, pengkarya baru... kerana saya percaya latihan dan didikan daripada mereka yang berpengalaman sangat penting dan bagus untuk diadakan,” katanya di majlis Anugerah Sastera Selangor 2019 yang berlangsung di Shah Alam malam tadi.

Untuk kali pertama sejak ia diadakan penganjur mengumpulkan enam Sasterawan Negara di majlis itu. Mereka ialah A Samad Said, Dr Anwar Ridhuan, Baha Zain Dr Siti Zainon Ismail, Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala dan Dr Zurinah Hassan.

Berucap pada majlis yang turut dihadiri pengkarya dan penulis dari seluruh negara, Amirudin percaya, penubuhan kelas agung itu akan meletakkan Selangor setaraf dengan kota raya serantau - seperti Jakarta, Manila dan Bangkok - dalam penghasilan karya seni kreatif dan kesusasteraan.

Terus beri ruang, peluang

“Kita tidak mahu menjadi jaguh kampung, kita mahu bersaing dengan bandar-bandar besar.

“Namun begitu, ruang pertarungan dan pertembungan itu bukan boleh diukur dengan kemampanan dan kemantapan struktur ekonomi, infrastruktur dan Revolusi Industri 4.0.

“Ia boleh diukur dengan bagaimana kita melahirkan karya hebat dan besar yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Penubuhan kelas bimbingan itu, kata Amirudin, akan turut mewujudkan kelompok budaya pemikiran baru dalam kalangan belia di negara ini, sekaligus mampu untuk meneroka ruang yang lebih luas sehingga dapat melangkaui penggunaan media sosial sekarang.

Amirudin melancarkan Sipena III, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corp Sdn Bhd, Mohamed Fareed Ashaaree (kanan) dan Ketua Pengarang Ibde, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menyedari pentingnya penghasilan dan penerbitan karya kreatif dan percaya ia mampu mengisi kelompongan yang terdapat dalam masyarakat terutamanya dalam pembentukan visi Malaysia Baru.

Menyedari dan memahami tanggungjawab itu juga kata Amirudin membuatkan kerajaan Selangor sentiasa meneruskan peranan mereka menyediakan ruang dan peluang untuk melatih dan mendidik seramai mungkin pengkarya di dalam negara.

“Kita ingin membuka kemudahan-kemudahan ini dengan peruntukan yang baik dan besar agar kita boleh terbitkan karya-karya untuk memperkayakan bahan bacaan, koleksi dan perbincangan sama ada dari konteks yang serius mahupun seni budaya,” tambahnya.

Pada majlis malam tadi juga Amirudin melancarkan naskhah Sipena III yang menghimpunkan esei, cerpen dan sajak dinilai juri untuk Anugerah Sastera Selangor 2018.

Buku itu diterbitkan oleh Ibde Ilham Sdn Bhd.

Lihat Komen
ADS