Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Dalam siri Rising pelukis Nizar Kamal Ariffin menceritakan mengenai isu ‘kebangkitan’ daripada segala macam ketidakadilan yang sedang berlaku.

Tumpuan yang lebih utama tentu saja diberikan kepada apa yang beliau lihat sebagai sesuatu yang berat sebelah semasa membicarakan perjalanan hidup sebagai seorang seniman.

Menurut beliau, di negara kita hari ini rumah lelong (lukisan) tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Namun apa yang berlaku di sebalik itu ialah, rumah-rumah lelong tersebut seperti hanya mementingkan keuntungan apabila ada antaranya membeli karya dengan harga pukal sebelum kemudian menjual semula dengan harga runcit yang tinggi.

Hal sedemikian tentulah hanya akan menguntungkan satu pihak - iaitu rumah lelong - manakala pelukis hanya dibuai rasa bangga bila karya mereka dilelong mahal.

Jarang benar ada rumah lelong yang benar-benar mahu membantu menaikkan karya bersekali dengan seniman demi untuk melihat penghasilan anak tempatan berada pada suatu tahap yang lebih membanggakan.

Pelukis pula tidak ada pilihan kerana memang kelangsungan mereka bergantung penuh kepada hasil jualan lukisan.

Tawaran yang diterima - walaupun dengan harga yang jauh lebih murah daripada sepatutnya - tentu saja tidak dapat ditolak apabila pada masa sama keperluan menjalani kehidupan seharian perlu dipenuhi.

Pelukis yang mengidap penyakit retinal detachment - yang menyebabkan mata sebelah kiri beliau hanya berupaya melihat pada kadar 10 peratus manakal yang kanan pula hilang upaya sebanyak 60 peratus - menegaskan bahawa rumah lelong dan juga pihak yang menyokong para seniman seharusnya lebih jujur dalam kerjaya mereka.

Mahu di tempat sepatutnya

Mempertahankan harga sesebuah karya sepatutnya bukan saja menjadi tanggungjawab pelukis, malah semua yang terlibat dalam bidang itu.

Justeru mereka sepatutnya bersatu hati untuk melonjakkan seseorang seniman.

Pengalaman 35 tahun Nizar dalam bidang itu seharusnya menjadi penanda aras bahawa beliau adalah seorang seniman yang serius menghasilkan satu-satu karya.

Selepas mendapat pendidikan di Universiti Sains Malaysia dan begitu lama bergelumang dalam arena seni, kini beliau tidak lagi mengharapkan apa-apa kegemilangan selain daripada berdoa agar karyanya diletakkan pada tempat sepatutnya.

Nizar Kamal Ariffin

Beliau juga mengatakan bahawa, memilih untuk menjadi pelukis dan kemudian mengadu susah dalam hidup adalah sesuatu yang membosankan.

Namun kebosanan mendengar cerita derita seseorang pelukis tentu saja tidak boleh menjadi sebab mereka yang diberi tanggungjawab melestarikan seni mengabaikan tugas masing-masing hanya kerana wang ringgit.

Nizar juga berpendapat suatu mekanisma perlu diwujudkan agar sebarang karya yang dilelong hendaklah dikawal harga permulaannya, sesuai dengan kedudukan seseorang pelukis.

Sekiranya ini dapat dilakukan, kedudukan seseorang seniman dapat diperkasa dan perbuatan. Ia sekali gus kita dapat mengelakkan amalan menjadikan seorang seniman hanya sebagai ‘pekerja’.

Hari ini mereka yang mencari untung dengan memperdagangkan hasil seni melihat karya sebagai komoditi, manakala pelukis pula hanyalah kuli yang akan diganti apabila saja hasil kerja mereka tidak lagi menguntungkan.

Nizar berpendapat adalah malang apabila pelukis menjadi mangsa pasaran yang dikuasai oleh spekulasi dengan mutu karya tidak lagi menjadi penting.


ABDULLAHJONES Ialah pelukis, penulis, penyair dan juga jurufoto amatur yang mengenali ramai seniman yang menjadi mangsa spekulator seni.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS