Justin Bieber dedah sedang 'bertarung' penyakit Lyme
Bintang pop terkenal, Justin Bieber mendedahkan dia kini sedang berjuang melawan penyakit Lyme.
Penyanyi kelahiran Kanada itu memberitahu berita berkenaan melalui akaun Instagram miliknya yang mempunyai 124 juta pengikut.
Bieber berkata bahawa dia didiagnos dengan jangkitan bakteria dan mengalami “tahun-tahun yang sukar.”
Bagaimanapun, Bieber berikrar untuk kembali dan lebih sihat.
“Baru-baru ini saya didiagnos dengan penyakit Lyme, bukan itu saja, saya juga berdepan kes mono kronik yang menjejaskan kulit, fungsi otak, tenaga dan kesihatan saya secara keseluruhan,” katanya.
Untuk rekod, Bieber didiagnos mengidap penyakit Lyme sekitar tahun lalu.
Menurut Bieber, 25, dia akan menjelaskan lebih lanjut berkenaan penyakit dihidapi dalam satu siri dokumentari yang bakal diterbitkan melalui YouTube tidak lama lagi.
“Beberapa tahun kebelakangan ini sukar, tapi saya sedang mendapatkan rawatan yang sesuai bagi membantu melawan penyakit yang setakat ini tidak boleh diubati.
“Namun, saya akan kembali dan jadi lebih sihat daripada sebelumnya,” katanya.
Selain itu, bulan lalu, Bieber mendedahkan, dia bakal membintangi sebuah dokumentari bersiri yang akan membawa peminat melihat perjalanan penghasilan album terbaru selepas lebih empat tahun.
Penyakit Lyme boleh menyebabkan pelbagai gejala melemahkan tubuh akibat keletihan dan sakit sendi hingga masalah jantung dan separa lumpuh.
Penyakit berkenaan menjangkiti ramai selebriti sejak kebelakangan ini. Pada 2015, model terkenal, Bella Hadid didedahkan mengidap penyakit itu.
Pada tahun sama, penyanyi Avril Lavigne pula didiagnos mempunyai penyakit tersebut. Setahun kemudian, pelakon Kris Kristofferson didapati hilang ingatan juga berpunca daripada penyakit sama.
Mono atau mononukleosis pula ialah penyakit berjangkit merujuk kepada sekumpulan gejala yang biasanya disebabkan oleh virus Epstein-Barr (EBV).
Virus tersebut disebarkan melalui air liur, menyebabkan segelintir orang merujuknya sebagai “penyakit cium.”

