Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ibu Puteri Balqis terkilan dituduh dapat RM100k dari Finas
Diterbitkan:  Jan 20, 2020 1:50 PM
Dikemaskini: 1:50 PM

Ibu pelakon cilik Puteri Balqis, iaitu Norashikin Mohd Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak dia menerima sumbangan RM100,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menyifatkan tuduhan itu fitnah semata-mata, dia berkata amat terkilan dan kecewa dengan cakap-cakap belakang yang dilontarkan terhadapnya.

“Terlalu banyak fitnah saya dapat sampai kata Seniman dan Finas bagi RM100,000. Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Belum habis satu, timbul pula cerita lain.

“Nasib baik saya menjual buku, kalau memang kerja saya minta tolong saja, inilah jadinya. Orang pasti akan mengungkit balik.

“Pihak yang keluarkan cerita itu bermotifkan sengaja dan memandai-mandai. Setiap hari saya sibuk menjual dan menguruskan penghantaran buku. Berhentilah fitnah kami,” katanya dipetik Harian Metro.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah rakaman klip video memaparkan usahawan, penyanyi dan pelakon Aliff Syukri mengajukan pertanyaan apakah yang ingin dilakukan kepada wang sumbangan orang ramai yang mencecah RM100,000 kepada Balqis.

Sebagai respons, Balqis memberitahu salah satu daripada hasratnya adalah untuk melabur wang tersebut dalam Forex.

"Duit tu ada yang Balqis nak simpan, ada yang nak disedekahkan dan untuk Forex kerana kami suka graf," jawabnya.

Maklum balas pelakon filem Makrifat Cinta itu sememangnya mengejutkan pengguna alam maya kerana segelintir mereka berpendapat remaja berkenaan masih terlalu muda untuk memikirkan soal dunia pelaburan.

Ia turut mencetus perasaan tidak puas hati dalam kalangan netizen yang beranggapan wang berkenaan sepatutnya digunakan bagi tujuan perubatan dan pendidikan.

Terdahulu, kisah menyayat hati Balqis dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz yang terpaksa berdepan kehidupan sukar mengundang perhatian selepas dipaparkan dalam program Bersamamu yang disiarkan melalui TV3.

Kisah itu tular kerana banyak pihak tidak menyangka kesukaran hidup perlu ditempuhi aktres berkenaan.

Mengulas berkenaan perkara terbabit, Norashikin berkata, anaknya itu sengaja menyahaktif media sosial kerana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku.

“Betul, Aqish (Puteri Balqis) tutup Instagram,” katanya.

“Dia kecewa dan sedih apabila terlalu banyak mendapat mesej di Instagram berkenaan apa yang berlaku. Apatah lagi semuanya tidak betul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri berkata, Finas pernah menghulurkan sumbangan kepada Balqis, tetapi pihaknya tidak pernah memberikan wang sebagaimana jumlah yang didakwa. 

Lihat Komen