Seni & Hiburan Malaysiakini

Lok-U meninggal dunia

Hiburan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pengarah muzik Faizal Uzir atau dikenali sebagai Lok-U meninggal dunia selepas pulang dari joging di sekitar kawasan kediamannya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Adik Allahyarham, Fairul Uzir memberitahu bahawa berita itu dimaklumkan isteri arwah, Jamariah Yusof.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan. Allahyarham sesak nafas dan rebah secara tiba-tiba selepas pulang dari berjogging. Kakak ipar kemudian menghubungi ambulans, namun abang disahkan meninggal dunia.

“Mungkin ia ada kaitan dengan jantung. Apapun, kena tunggu keputusan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian,” katanya dipetik BH Online.

Fairul berkata, urusan pengebumian akan dilakukan selepas proses bedah siasat selesai.

“Buat masa ini, arwah masih berada di hospital. Jenazah akan dibawa dan disembahyangkan di Surau Al Falah, Taman Puncak Jalil.

“Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya selepas solat Asar,” katanya.

Allahyarham meninggalkan empat cahaya mata, iaitu Adam Danial, Faris Danial, Ahmad Firhan Danial dan Yasmin Damia.

Allahyarham yang pernah bertugas sebagai pemuzik di Petronas, turut menimba pengalaman dengan mengiringi persembahan ramai artis popular.

Antaranya Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Dayang Nurfaizah, Aishah dan ramai lagi.