Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa bangkit semula dengan kilang hasilkan susu pisang

Teruk dihimpit kontroversi sebelum ini, namun ia tidak mematahkan semangat pelakon dan pengacara popular, Neelofa, untuk terus melebarkan langkahnya dalam dunia perniagaan.

Kali ini dia mengusahakan kilang mengeluarkan susu pisang pula.

Kata Neelofa, jika dikenang semula, isu susu pisang yang pernah mengundang perhatian pelbagai pihak - termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu - memang boleh membuat air matanya tumpah.

“Isu susu pisang ni memang sangat menyentuh hati. Masa kan tidak, kalau terkenang pun saya akan menangis disebabkan ia pengalaman pertama menceburkan diri dalam bidang bisnes makanan dan minuman.

“Walaupun bermula dengan takut-takut terutama daripada segi penerimaan orang ramai, produk berkenaan akhirnya mendapat permintaan ramai hingga dikeluarkan sebanyak 2.6 juta paket dalam tempoh dua bulan. Sebelum ni kurang daripada 200,000.

“Alhamdulillah, segala kecaman dan dugaan yang hadir pada saat itu tak menjatuhkan perniagaan saya, sebaliknya menaikkannya lagi,” katanya teruja.

Menurut pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu, kilang berkenaan dibina di lokasi berkeluasan satu ekar.

Walau tertekan terus ke depan

“Kami bermula dari awal. Kilang itu akan mengeluarkan hanya produk susu pisang saya,” katanya sambil menambah, ia dijangka siap sepenuhnya tahun ini.

Neelofa ditemui pada majlis penjenamaan semula perniagaannya, Naelofar, di Kuala Lumpur kelmarin.

Terdahulu, susu pisang keluaran Neeloga itu ditempelak pelbagai pihak termasuk dalam kalangan doktor, selain mengundang kegusaran ramai pihak selepas didakwa boleh merawat beberapa gejala penyakit.

Bagaimanapun, bercakap kepada Malaysiakini, Neelofa menjelaskan agensi promosi yang dilantik pihaknya tidak mendapatkan maklum balas dari ibu pejabat terlebih dahulu sebelum bagi mengedar risalah susu pisang tersebut. 

Meskipun mengaku tertekan, Neelofa, 31, berkata semangatnya tidak goyah pada ketika itu, sebaliknya dia mencabar diri sendiri untuk bangkit bagi membuktikan perniagaannya boleh berjaya.

“Saya nak buktikan suatu hari nanti perniagaan ni boleh mendapat pertolongan Allah, dapat keberkatan berlipat ganda serta lahirkan ramai jutawan.

"Biarpun tertekan, saya kata akan terus bergerak ke depan dan inilah hasilnya, perniagaan ” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Neelofa mendedahkan dia sedang berbincang bagi menjayakan filem keluaran produksi Indonesia, selain menggunakan khidmat pengurus dari negara terbabit.

Katanya pengurus itu adalah orang yang sama mengendalikan selebriti terkenal lain, termasuk Bunga Citra Lestari.

“Semuanya masih dalam perbincangan dengan penerbit di Indonesia. Insya-Allah, jika ditakdirkan tiada halangan, saya bakal membintangi filem di sana.

“Jika menjadi kenyataan, saya akan mendedahkan butiran lanjut kepada orang ramai kelak," katanya lagi yang kini sedang giat mempelajari bahasa Indonesia dengan mengupah tutor dari Jakarta.  

Lihat Komen
ADS