Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Elfira tanam sikap positif demi masa depan anak

Sebagai anak seni yang baru bergelar ibu, pelakon Elfira Loy menyedari tanggungjawab untuk mendidik anak memang menjadi keutamaannya ketika ini.

Justeru kata Elfira, setiap kontroversi pernah terpalit dalam kehidupannya terutama dari sebelum mendirikan rumah tangga hingga akhirnya bergelar seorang isteri seboleh-bolehnya cuba dianggap sebagai satu pengalaman mematangkan.

Menurutnya, dengan bersikap demikian, dia boleh menanamkan sikap positif bukan saja dalam diri sendiri bahkan pada anaknya, Muhamad Rayyan Khalaf yang kini berusia lima bulan.

“Saya membesar dalam industri sejak berusia 12 tahun. Apa saja dibuat dalam dunia seni akan mematangkan, dan dianggap suatu pembelajaran untuk memperbaiki diri menjadi lebih bagus.

“Apa saja ujian yang dilalui sebelum ni akan buatkan El (Elfira) jadi kuat. Jika didikan ibu bapa pada anak betul, insya-Allah anak dapat membesar dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Elfira ditemui pada majlis pelancaran produk Elegant Cosmetics Whitening Emulsions di Le Meridian Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri itu dilantik selaku duta bagi mempromosi produk berkenaan yang mempunyai kandungan berasal dari Perancis dan Switzerland.

Elfira dan suami, Muhamad Khairol Faris Anuar mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2019. Mereka dikurniakan Muhamad Rayyan pada 1 Oktober tahun lalu.

Ditanya sama ada dia bimbang atau tidak setiap kontroversi terpalit pada dirinya boleh memberi tekanan kepada anaknya apabila besar nanti, Elfira, 26, berkata, sebagai ibu dia juga harus bijak dan teliti dalam memberikan penjelasan.

Jelasnya lagi, sekiranya netizen menyuarakan sesuatu, seseorang anak seni sepertinya tidak wajar berfikiran sempit malah menganggap ia kecaman semata-mata.

“Misalnya, segelintir netizen pernah mempertikaikan mengapa saya bahasakan diri sebagai kakak kepada anak. Tapi saya tak anggap tu kecaman.

“Tak semua apa disuarakan warganet wajar dianggap suatu kecaman, ia mungkin hanya persoalan.

“Jika tak timbul isu saya tertekan di situ, saya juga percaya anak tak akan tertekan dengan isu sama apabila dia besar nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas kerjaya seninya, Elfira berkata, dia merancang untuk kembali aktif pada hujung tahun ini dalam bidang pengacaraan.

“Sekarang El jaga anak sepenuh masa sebab tak percaya pada pengasuh. Tapi El akan kembali aktif dalam industri tak lama lagi, mungkin dalam bidang pengacaraan dulu,” katanya.

Lihat Komen
ADS