Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diminta melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang benar-benar layak bagi menggantikan Ahmad Idham yang tamat kontraknya semalam.

Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia (Semesta), Dr Mahadi J Murat, juga menyeru agar jawatan tersebut diserahkan pada individu yang memiliki rekod pencapaian jelas, selain berilmu pengetahuan luas dalam bidang perfileman serta pengurusan.

“Ia supaya beliau berupaya menjadi ahli pasukan yang dapat menggalas objektif menjayakan matlamat industri, sekali gus menyumbang kepada pembinaan negara bangsa yang sangat-sangat diperlukan kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Finas menganjurkan majlis Jasamu Dikenang untuk mengucapkan selamat perpisahan kepada Ahmad Idham yang menamatkan perkhidmatannya secara rasmi.

Acara itu diadakan pada hari sama ketika menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya.

Dalam kabinet Muhyiddin Yassin, KKMM diterajui Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, manakala Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) dilantik sebagai timbalan.

Mahadi berkata, meskipun Finas kini tiada CEO untuk mengepalai pentadbirannya, kekosongan itu dilihat barangkali membawa kebaikan tersendiri.

“Mungkin ia memudahkan menteri untuk memulakan sesuatu yang baru tanpa kekangan di Finas.

“Sebagai seorang karyawan dan sarjana dalam bidang perfileman saya mengalu-alukan kedatangan Saifuddin sebagai menteri, dan Zahidi sebagai timbalan menteri di kementerian tersebut,” katanya.

Di bawah kepemimpinan kedua-dua tokoh itu, Mahadi berharap Finas akan melalui fasa pembaharuan, iaitu dikembalikan ke landasan asal sebagai agensi pembangunan filem seperti yang digarisi di bawah Akta Finas 1981.

Pengarah filem itu pada masa sama turut berharap kepemimpinan baru KKMM dapat menentapkan hala tuju, matlamat dan dasar industri filem dan kandungan digital negara yang baru digubal dan dilaksanakan dengan secepat dan sebaik yang mungkin.

“Pada masa ini industri ini dilihat berada dalam keadaan terumbang-ambing sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 kerana tiada dasar dan hala tuju yang jelas diperkenalkan, selain dari soal-soal kecil berkaitan EPF atau Socso dan perumahan untuk artis dan pekerja filem.

“Finas juga lebih dilihat sebagai sumber mendapatkan dana dan pembiayaan untuk segala jenis produksi tanpa matlamat serta sebarang pencapaian yang jelas,” katanya.