Pemenang anugerah Academy, Tom Hanks, yang positif dijangkiti wabak Covid-19 minggu lalu, dibenarkan keluar dari Hospital Gold Coast, Australia, lapor media hari ini.

Bagaimanapun, isteri Hanks, Rita Wilson, masih dirawat dipusat perubatan berkenaan.

Hanks, 63, akan menyambung penggambaran filem biografi lejenda rock 'n roll, Elvis Presley sebelum ia ditayangkan tahun depan.

“Penggambaran tergendala selama dua minggu dan saya yakin virus ini tidak menjangkiti mana-mana pelakon atau kru,” katanya seperti dipetik InDaily.

Namun, bintang Forrest Gump itu berkata mereka akan mematuhi sekatan kesihatan Australia yang berkaitan dengan virus itu.

Terdahulu, Hanks dan Rita, 63, mula mengadu tidak sihat semasa berada di Australia. Mereka kemudian mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebelum disahkan positif Covid-19.

Ketika Hanks disahkan bebas daripada Covid-19, seorang lagi pelakon terkenal Hollywood, disahkan dijangkiti virus yang sudah meragut lebih 6,600 nyawa di seluruh dunia itu.

Mengumumkan berita itu, Avengers: Infinity War, Idris Elba, berkata dia diuji positif Covid-19 hari ini.

Kata pelakon berusia 47 tahun itu, sebelum ini dia tidak mempunyai sebarang gejala tetapi tetap mengasingkan diri daripada orang lain.

“Saya rasa baik dan tidak mempunyai gejala setakat ini tetapi telah mengasingkan diri selepas mengetahui terdedah dengan virus itu dan terus menginap di rumah.

"Saya telah menjalani ujian kerana mendapati pada Jumaat lalu saya terdedah kepada seseorang yang mengidap wabak itu. Saya tidak mengenali orang itu,” katanya dalam video tersebut.

Elba juga berpesan kepada pengikutnya supaya kekal positif dan tidak panik terhadap peningkatan wabak ini.