Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penggusti bertudung Malaysia jadi belia pilihan Forbes
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 2:47 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Ahli gusti berhijab, Nor ‘Phoenix’ Diana menjadi belia Malaysia yang tersenarai dalam senarai 30 Under 30 Asia 2020 majalah Forbes bagi kategori Sukan dan Hiburan.

Anak jati Kuala Lumpur itu pernah mendapat perhatian dunia apabila menjadi wanita pertama memenangi kejohanan Malaysia Pro Wrestling (MYPW) tahun lalu, selain penampilannya yang berhijab di dalam gelanggang.

Nor Diana,20, yang masih bekerja sebagai pegawai perubatan turut meluahkan hasrat untuk memberi inspirasi bukan hanya kepada wanita berhijab tetapi semua wanita.

Jelasnya tiada apa yang mustahil jika mempunyai keinginan yang besar untuk berjaya.

Selain Nor Diana, Anja Chong, 26, atlet speed skating Malaysia yang memenangi empat pingat emas di dalam acara itu di temasya Sukan SEA 2017 dan 2019 turut disenaraikan dalam kategori sama.

Untuk rekod, Forbes 30 Under 30 Asia menampilkan usahawan dan pemimpin muda di seluruh Asia di bawah usia 30 tahun, yang membawa pembaharuan bagi generasi akan datang.

Antara belia Malaysia yang berjaya tersenarai dalam senarai tahunan yang kini memasuki tahun kelima itu ialah Arif Tukiman, 28, pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif (CEO) RunCloud, sebuah syarikat teknologi.

Beliau tersenarai dalam kategori Perusahaan Teknologi.

Malaysia juga mempunyai dua wakil kategori Runcit dan E-Dagang iaitu syarikat RAGE Coffee yang diasaskan bersama oleh Jevin Singh dan Mohamed Afzal serta syarikat Dropee yang diasaskan bersama oleh Lennise Ng dan Aizat Raim.

Kategori Kewangan dan Modal Teroka diwakili oleh Pengarah Pelaburan Kairous Capital, Adrian Hia, 27; Joshua Smith, 29, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi MyPay dan Zac Liew, 28, pengasas bersama dan CEO Curlec.

Selain itu, kategori Teknologi Pengguna pula terdapat wakil dari Pengasas JomRun Yi Hern Chang, 23 dan Pengasas Baituljannah Wan Hasifi Amin Wan Zaidon, 30.

Bagi ketagori Kesenian, diwakili oleh pengasas bersama Agrain Jason Ooi, 29, manakala Ashiwin Vadiveloo, 29, penyelidik pascasiswazah di Pusat Kajian dan Penyelidikan (R&D) Alga di Murdoch University, Australia tersenarai dalam kategori Sains dan Penjagaan Kesihatan.

Lihat Komen
ADS