Kelangsungan seni di bawah bayang-bayang Covid-19
Mungkin galeri seni di seluruh negara terpaksa ditutup buat sementara waktu ketika ini disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan Covid-19, namun ia tidak bermakna perkembangan seni telah terkubur.
Pameran seni tahunan SATU yang berlangsung di Galeri Shah Alam, anjuran Persatuan Seni Rupa Malaysia (Perupa) yang terpaksa dipendekkan tempohnya, kini beralih kepada pameran di alam maya.
“Pameran yang dimulakan pada 2015 ini melibatkan 55 artis, termasuk dari Jepun, Jerman, India, Maldives dan Iran, mempamerkan karya mereka,” kata Presiden Perupa, Abu Zaki Hadri, 41, kepada Bernama.
Beliau berkata pada mulanya pameran itu dijadualkan berlangsung dari 4 Mac hingga 27 Mac, namun tempohnya terpaksa dipendekkan susulan pelaksanaan PKP.
Justeru mereka memutuskan untuk membawa acara itu ke laman Facebook.
“Kami kehilangan seminggu tempoh pameran itu disebabkan PKP. Justeru, kami tampilkan inisiatif yang dikenali sebagai acara Virtual Perupa Art Gallery - SATU [Expended Version] with One Objective,” tambahnya.
Artis kelahiran Taiping itu menjelaskan galeri maya selama sebulan yang bermula dari 4 April itu akan menampilkan akses kepada jumlah penonton yang lebih besar di samping menyediakan ruang lebih luas buat artis mempamerkan hasil seni mereka.
Galeri maya dalam bentuk video itu boleh diakses menerusi laman Facebook Perupa Malaysia, yang memaparkan hasil seni oleh barisan artis yang terlibat dalam acara itu.
Beliau berkata laman Facebook mereka juga mempamerkan e-katalog kepada pencinta seni dan orang ramai yang berhasrat membelinya secara dalam talian. Ia dijual pada harga sekitar RM700 sehingga RM6,000 tiap satu.
“Sekiranya semua hasil seni itu berjaya dijual, artis terlibat layak memperoleh 75 peratus daripada harga yang ditawarkan, dan dan 25 peratus lagi adaah buat Perupa.
“Daripada 25 peratus yang dikutip Perupa, 20 peratus akan disalur kepada Tabung Sokongan Artis PKP Covid-19, manakala selebihnya masuk ke tabung Perupa,” katanya.
Ditanya mengenai kesan wabak Covid-19 kepada industri seni tempatan, Abu Zaki berkata ramai kalangan artis menerima kesan dan terpaksa menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan harian.
“Saya faham orang ramai kini cukup berhati-hati dalam perbelanjaan mereka, dan hanya berbelanja untuk perkara penting dan berjimat bagi menghadapi hari yang sukar di masa depan.. jika tiada yang membeli hasil karya kami, ia bermakna tiada pendapatan buat kalangan artis seperti kami,” katanya.
Bagaimanapun menurut Abu Zaki ramai kalangan mereka benar-benar menghargai langkah kerajaan yang membenarkan mereka mengeluarkan simpanan KWSP i-Lestari untuk meneruskan kelangsungan hidup, dan pada masa yang sama berharap kerajaan akan terus menyokong mereka dalam mengharungi hari yang sukar.
- Bernama

