Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suami Che Ta sokong polis, tentera rotan pengingkar PKP
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 2:23 PM
Dikemaskini: 12:06 PM

Pelakon Zain Saidin menyatakan sokongannya jika pihak berkuasa menggunakan kekerasan bagi memastikan segenap lapisan masyarakat mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kata Zain, dia bersetuju sekiranya pihak polis atau tentera diberikan kebenaran untuk merotan mana-mana pengingkar PKP yang masih berdegil bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tolong, tolong, tolong. Kalau korang (kamu) tak sanggup, aku sanggup,” katanya di Instagram.

Suami pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta itu juga menyertakan tanda pagar #toughlove dan #becrueltobekind pada kenyataan yang dimuat naik.

Pada masa sama, pemilik nama penuh Mohamad Zain Mohd Saidin itu juga mengiringi kenyataan berkenaan dengan perkongsian sebuah imej tertera:

“Kami rakyat Malaysia mahu kerajaan benarkan tentera dan polis menggunakan kekerasan bagi mengawal negara.

“Kami dah tak sanggup PKP ditambah lagi disebabkan mereka-mereka yang berdegil kerana kerajaan terlalu berlembut.

“Dah lebih 14 hari tak kerja, kami juga ada tanggungjawab perlu diselesaikan, kasian (kasihan) la kat kami yang patuh PKP ni, jangan kasian kepada mereka yang berdegil,” menurut kenyataan pada imej tersebut.

Perkongsian Zain, 36, itu mendapat respons positif daripada kebanyakan pengikut. Misalnya pengguna akaun @bonda_erini yang menyokong tindakan kekerasan diambil terhadap mereka yang ingkar arahan PKP.

“Saya pun sanggup. Saya setuju dan saya sokong,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis boleh menggunakan kekerasan munasabah semasa menahan pihak ingkar PKP.

Bagaimanapun, tindakan kekerasan tidak boleh dikenakan terhadap suspek selepas mereka ditangkap dan dikumpulkan pada suatu tempat.

Hari ini dalam siaran secara langsung dari Putrajaya, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memaklumkan seramai 6,048 mengingkari arahan tersebut sejak tempoh PKP dilaksaksanakan sejak 18 Mac lalu. 

Lihat Komen
ADS