Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
SRK tawar pejabat jadi fasiliti kurantin pesakit
Diterbitkan:  Apr 6, 2020 8:41 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Bintang Bollywood Shah Rukh Khan menawarkan pejabatnya sebagai fasiliti kuarantin bagi merawat pesakit Covid-19.

Usaha itu diumumkan aktor berkenaan selepas dia dan isterinya menguar-uarkan inisiatif untuk membantu kerajaan India bagi memerangi wabak pandemik itu.

Pihak berkuasa tempatan, Brihanmumbai Municipal Coorporation (BMC) mengucapkan terima kasih melalui Twitter atas bantuan dihulurkan pasangan tersebut.

“Kami berterima kasih kepada @iamsrk dan @gaurikhan kerana menawarkan ruang pejabat empat tingkat untuk membantu mengembangkan lokasi kuarantin yang dilengkapi kemudahan untuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

“Sesungguhnya apa diberikan amat bertepatan pada waktnya,” ciap BMC.

Shah Rukh, 53, memberi respons, dengan menyatakan mereka bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada sesuatu kebaikan.

“Ketika menyebut mybmc, ada rasa kepemilikan dan bangga dengan segala usaha kamu memerangi Covid-19.

“Kami berdua bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada usaha kamu menjaga penduduk Mumbai,” ciapnya.

Aktor itu pada 2 April lalu mengumumkan pelbagai inisiatif bakal dilakukan bagi membantu meringankan beban kerajaan ketika berdepan krisis berkenaan.

Pelbagai syarikat dimiliki pelakon itu - Kolkata Knight Riders, Red Chillies Entertainment, Meer Foundation dan Red Chillies VFX - berikrar untuk memberi sokongan pada masa berdepan ujian ketika ini.

Aksi kemanusiaan yang dilakukan oleh bintang filem Kuch Kuch Hota Hai itu mengundang pelbagai komen positif daripada pengikut-pengikutnya di Twitter yang kebanyakannya mengucapkan terima kasih.

Selain itu, tindakan Shah Rukh menyumbangkan bantuan selain daripada kewangan itu juga menerima pujian kerana ia dianggap sesuatu yang berbeza.

“Menyumbangkan wang juga sudah merupakan sesuatu yang baik, tetapi cara anda lebih maju dan mengurus begitu banyak hal secara peribadi adalah sesuatu yang berbeza. Anda adalah seorang pelindung.

“Memberi ruang pejabat peribadi untuk dijadikan fasiliti kurantin adalah hal yang sangat besar, ia memerlukan hati yang besar dan peduli,” ciap pemilik akaun @JacyKhan.

Lihat Komen
ADS