Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Harith Iskander berjaya memperoleh derma hampir RM132,000 melalui The Hope Branch (THB), sebuah tabung mengumpul dana sokongan bagi membantu petugas barisan hadapan yang berusaha memerangi wabak Covid-19.

Pelakon, pelawak dan pengacara itu berkata, pada saat ini dia seboleh-bolehnya ingin melakukan apa saja yang termampu dengan kudratnya untuk menyempurnakan usaha tersebut yang digerakkan sejak 23 Mac lalu bersama isterinya, Dr Jezamine Lim.

“Bagi saya, kita buat apa yang boleh dan selagi mampu. Setakat ini THB sudah menyalurkan pelbagai bahan seperti makanan kering, peralatan perlindungan diri (PPE), cecair pembasmi kuman, penutup muka dan hidung serta sarung tangan getah.

“Daripada dana tersebut saya beli barang-barang keperluan yang kemudian dihantar ke hospital, klinik di kawasan pedalaman serta polis dan angkatan tentera (Selangor dan Perak),” katanya kepada Malaysiakini.

Setiap hari, Harith akan berkongsi setiap perkembangan terbarunya melalui Instagram. Misalnya ia dijalankan untuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Kemas kini 60 saat @thehopebranch.my, awal hari ini saya ke Hospital Universiti Malaya (Pusat Perubatan Universiti Malaya) untuk menghantar barang-barang kepada petugas yang bekerja di barisan hadapan manakala kita duduk di rumah dan kekal selamat.

“Terima kasih kepada kamu semua yang menderma dan menyumbang. Kerja-kerja ni akan berterusan,” katanya.

Keluarga Rohingya juga dapat

Harith berkata, untuk semua tugas-tugas amal tersebut, dia sebenarnya menyasarkan kutipan sebanyak RM250,000, meskipun jumlah itu masih jauh lagi untuk dicapai, namun baginya tiada apa-apa yang mustahil.

“Jika pasang matlamat RM250,000, tak boleh fikir tak boleh buat, kena sentiasa positif, hanya cuba buat yang termampu," katanya.

Untuk rekod, selain PPUM, setakat ini THB sudah menyalurkan barang-barang keperluan ke beberapa pusat perubatan termasuk Hospital Kuala Lumpur, Klinik Kesihatan Kota Damansara di Selangor Klinik Seberang Jaya di Butterworth.

Penghantaran besar-besaran PPE dan makanan kering juga akan dihantar ke hospital di Kota Kinabalu dan Sandakan, Sabah pada minggu depan.

TBH setakat ini sudah menyumbang antaranya kira-kira 1,500 unit PPE, 12,500 penutup muka dan hidung, 1,000 sarung tangan getah, 80 liter cecair pembasmi kuman dan 4,800 makanan.

Menurut Harith, 52, daripada jumlah kutipan dana tersebut, sebahagiannya juga digunakan untuk mengagihkan makanan ke pusat gelandangan dan golongan miskin.

Katanya, ilham untuk membantu golongan susah pendapatan timbul selepas dia terkenangkan nasib mereka yang terjejas ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Macam mana mereka yang berniaga nak teruskan kehidupan semasa PKP? Mana mereka nak dapat duit?

“Justeru, saya cuba bantu salurkan bekalan makanan antaranya kepada 170 gelandangan di Ampang Hilir, 12 keluarga di flat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pantai Dalam serta 35 keluarga Rohingya di Cheras.

“Mujur ada anak-anak membantu membungkus barang-barang. Untuk makanan basah, tugas memasak diserahkan kepada isteri saya. Sekurang-kurang sebanyak 1,600 makanan perlu dimasak oleh isteri dalam seminggu,” katanya.

Lihat Komen
ADS