Melihatkan raut wajah anggota barisan hadapan yang berkhidmat untuk negara ketika ini pasti membuatkan sesiapa sahaja terkesan.
Mereka bukan sahaja meninggalkan keluarga di rumah demi melawan pandemik Covid-19 tetapi dalam masa yang sama turut menggadaikan nyawa semata-mata mahu situasi dalam negara kembali pulih seperti biasa.
Bagi Azlan & The Typewriter, jasa dan pengorbanan barisan hadapan tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Pengorbanan yang dilakukan begitu besar maknanya dan harus dihargai oleh semua.
Jusuteru, mengambil inisiatif untuk memberikan semangat dan sebagai tanda terima kasih, Azlan & The Typewriter merakamkan sebuah lagu berjudul Barisan Hadapan sebagai tanda terima kasih kepada mereka.
Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Azlan, vokalis kumpulan itu, sudah boleh ditonton melalui saluran YouTube Indigital Music bermula pukul 11 pagi tadi.
“Sayu hati melihat gambar dan video mereka tular dalam media sosial. Jasa petugas barisan hadapan ini memang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
“Mereka bukan sahaja merawat pesakit di hospital, malah sebahagian besar berada di atas jalan semata-mata mahu menjaga keselamatan dan mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lagu tersebut, Azlan juga menasihati ahli masyarakat agar terus berada di rumah dan mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan yang sejak bermula 18 Mac lalu.
Menurut Azlan, hanya dengan berada di rumah, rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
“Tidak sukar pun sebenarnya untuk melawan pandemik ni asalkan kita mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya.
