Dua orkestra buat persembahan dari rumah
Berikutan konsert dan ruang persembahan lain ditutup kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), dua orkestra mempamerkan bakat muzik mereka secara dalam talian sebagai tanda penghormatan terhadap petugas barisan hadapan yang sedang berjuang memerangi Covid-19.
Memainkan alat muzik mereka secara berasingan di hadapan kamera dari rumah masing-masing, pemuzik dari Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MYPO) bersama menghasilkan video persembahan orkestra maya mereka dengan tema utama Star Wars.
Video berdurasi enam minit yang disusun oleh John Williams itu dimuat naik di akaun media sosial Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) pada Rabu.
"Ini adalah penghormatan khas oleh bakat luar biasa dari MPO untuk barisan hadapan kita yang bekerja keras dalam masa-masa ujian menghadapi pandemik Covid-19 ini.
"Persembahan 'Main Title - Star Wars Suite' yang dikarang oleh John Williams ini merupakan tanda terima kasih dari MPYO, di bawah bimbingan mentornya dari Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), untuk semua barisan hadapan kita di seluruh Malaysia dan seluruh negara dunia.
"Tolong duduk di rumah. Nikmati muzik! Semoga kekuatan bersama kamu,” tulis kapsyen berkenan.
MPO dan MYPO kali terakhir membuat persembahan pada 14 Disember tahun lalu, bersempena penerbitan filem ‘Star Wars: Episode IX - The Rise of Skywalker’ pada minggu berikutnya.
Orkestra RTM
Sementara itu, Orkestra RTM juga mempersembahkan lagu patriotik 'Bahtera Merdeka' dan mendedikasikannya kepada barisan petugas hadapan.
Persembahan itu diakhiri dengan klip audio suara Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang memuji kakitangan barisan hadapan.
Video berdurasi tiga minit itu disiarkan di akaun Facebook orkestra itu semalam.

