mk-logo
Seni & Hiburan
Khir Rahman tak berniat aib sesiapa, cuma tuntut hak
Diterbitkan:  May 4, 2020 4:25 PM
Dikemaskini: May 5, 2020 11:40 AM

Bukan niat untuk mengaibkan sesiapa, demikian penjelasan pengarah teater Korupsi Dewan Semandung, Khir Rahman berkenaan tindakannya dan kru membangkitkan isu dakwaan bayaran tertunggak pementasan terbabit sejak beberapa hari lalu.

Khir berkata, dia sebenarnya lebih menjurus pada hak yang ingin dituntut, justeru tindakan dilakukannya itu bertujuan memberi kesedaran semata-mata demi kebaikan industri.

“Kalau boleh, kami mahu perkara ini diselesaikan antara kami saja tanpa membabitkan orang luar.

“Selain mahu menjaga air mukanya, kami juga mahu menjaga aib kami. Soal tidak mendapat bayaran bukanlah sesuatu yang seronok untuk dijaja.

“Bagaimanapun, apabila dia terlebih dulu bercerita kepada media, kami tiada pilihan, selain tampil bersuara mempertahankan hak.

“Kami bertindak demikian kerana mahu memberi kesedaran kepadanya supaya tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang demi kebaikan industri," katanya dipetik BH Online.

Terdahulu, isu bayaran dibangkitkan seorang demi seorang pelakon dan kru teater komedi seram yang dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada Februari lalu itu.

Mereka mendakwa, penerbit Syarikat Ogy Ventures & Network milik pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud belum melunaskan sejumlah baki bayaran.

Bagaimanapun, Fauziah atau mesra disapa Ogy dilaporkan menjelaskan semua bayaran tertunggak akan dilunaskan seperti dijanjikan.

Khir juga mendakwa, dia sebelum ini pernah dimaklumkan beberapa pihak lain pengalaman sama semasa bekerja dengan Ogy.

“Apabila mendengar cerita sebegitu, ditambah dengan janji melunaskan baki hutang pada pertengahan Mac lalu tetapi tidak ditunaikan, sedikit sebanyak menerbitkan kerisauan kepada kami.

“Perbuatan seperti itu bagi saya harus dibendung. Kita tidak mahu ia menjadi tabiat, sekali gus menyusahkan pihak lain pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, tuntutan dibuat sebagai suatu peringatan kepada semua penerbit supaya mengukur baju di badan sendiri dalam setiap perkara dilakukan.

“Saya juga ada cita-cita mementaskan teater. Tetapi saya tahu projek itu memerlukan kos tinggi dan saya tidak mampu. Hendak mengharapkan duit orang pun tidak boleh juga," katanya.

Sementara itu, mengulas janji penganjur yang mendakwa tidak akan melarikan diri pelakon filem Rock 4: Rockers Never Dai itu berkata, dia mengambil pendirian untuk mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Dia boleh cakap apa saja, tidak akan lari dan tetap akan bayar. Kita tengok saja nanti.

“Namun, kami tetap tidak berdiam diri dan akan sentiasa menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan terkini," katanya.

Lihat Komen
ADS