Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Pemimpin ada niat lain, mohon Kau celakakan hidupnya'
Diterbitkan:  May 31, 2020 6:42 PM
Dikemaskini: Jun 1, 2020 5:11 PM

Ketika situasi politik negara sedang hangat dengan pelbagai isu dan kemungkinan, pelakon Bront Palarae, mempunyai doa khusus buat pemain politik.

Jelas tidak menunjukkan kecenderungannya kepada mana-mana kumpulan, pelakon Bunohan itu mengharapkan sesiapa juga yang berusaha membantu rakyat, maka mereka didoakan agar dipermudahkan.

Namun untuk ahli politik yang sebaliknya, Bront mempunyai harapan yang lain pula.

"Buat pemimpin tak kira di mana-mana kem yang ingin membantu rakyat, mohon dipermudahkan urusannya.

"Buat yang ada niat selain daripada itu, mohon Kau celakakanlah hidup mereka agar jadi pedoman buat generasi akan datang, ya Allah.

"Hanya pada-Mu kami berharap. Amin, ya robbal alamin," ciap Bront di Twitter .

Sehingga lewat petang ini ciapan itu mendapat hampir 5,000 tanda suka dan lebih 3,000 ulang kicau.

Mandat tak ditarik balik

Rata-rata pengguna Twitter yang memberi respon kepada doa Bront itu dengan mengungkapkan kata 'amin' sebagai tanda bersetuju dengannya.

Ciapannya itu dibuat ketika wujud dakwaan Pakatan Harapan (PH) kini sedang berada di peringkat akhir untuk kembali menjadi kerajaan selepas mereka diruntuhkan melalui 'Langkah Sheraton' baru-baru ini.

Beberapa pihak mendakwa PH sudah memiliki sokongan anggota parlimen yang diperlukan bagi mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

Untuk rekod Langkah Sheraton menyaksikan Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar daripada PH untuk bekerjasama dengan Umno dan PAS serta MIC dan MCA.

Kerjasama itu kemudian melahirkan Perikatan Nasional (PN). Namun pengkritik melabel PN sebagai kerajaan pintu belakang kerana penubuhannya menafikan mandat yang diberikan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 2018.

Untuk rekod sehingga kini, mandat yang diberikan rakyat kepada PH tidak pernah ditarik balik atau dibatalkan.

Pertukaran kerajaan daripada PH kepada PN juga menyaksikan beberapa perubahan berlaku dalam dunia seni negara. Misalnya pelantikan bekas pemimpin pertengahan PKR mengetuai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Penggiat seni juga berdepan dengan kesulitan untuk mencari pendapatan ekoran pelbagai larangan yang menghalang mereka bergiat seperti biasa, termasuk menjalani penggambaran filem atau drama, serta mengadakan persembahan pentas.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS