Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bekas ratu cantik Malaysia bikin panas isu warna kulit
Diterbitkan:  Jun 1, 2020 10:35 PM
Dikemaskini: Jun 2, 2020 2:40 AM

Pemenang pertandingan ratu cantik Miss Universe Malaysia 2017 Samantha Katie James antara orang yang menjadi sohor kini di Twitter selepas mencetuskan kontroversi melalui kenyataan berkaitan bantahan hantaran dimuat naik di media sosial miliknya hari ini.

Membuat kenyataan mengenai rusuhan dan bantahan berkaitan kempen Black Lives Matter di AS sekarang, pada awalnya berkata, reaksi ditunjukkan perusuh ketika ini menandakan kaum kulit putih menang dengan mudah.

Bagi Samantha, melawan adalah perkara yang tidak boleh menyelesaikan sesuatu masalah.

"Saya tak menetap di Amerika, ia tiada kena mengena dengan diri ini. Tapi bagi saya, nampaknya kulit putih telah menang.

"Sebab, jika marah, kamu akan memberi reaksi dalam keadaan ganas dan jiwa terseksa.

"Itu bermaksud ia berkuasa ke atas kamu dan memiliki kuasa ke atas kamu," katanya di Instagram.

Namun, Samantha yang juga pelakon itu terus mengundang rasa kurang senang netizen apabila dia meminta orang kulit hitam di AS agar menerima situasi yang berlaku sebagai cabaran.

Untuk rekod rusuhan yang berlaku di kebanyakan bandar di AS berpunca daripada kematian George Floyd pada 25 Mei lalu selepas dia ditahan anggota polis, Derek Chauvin, atas dakwaan menggunakan wang palsu.

Rakaman video menunjukkan Chauvin menekan lututnya di leher Floyd walaupun dia berulang kali menyatakan tidak boleh bernafas tersebar di Internet dan membangkitkan kemarahan ramai.

Tak patut ada sikap perkauman

Anak berdarah kacukan dan Brazil itu juga mendakwa perusuh meminta dilahirkan sebagai orang kulit hitam di AS kerana bersebab, iaitu untuk mempelajari beberapa pengajaran.

"Bertenang, ambil ia sebagai cabaran, ia jadikan kamu kuat," katanya.

Apabila seorang pengguna Instagram bertanya apa yang dimaksudkan dengan "memilih" untuk dilahirkan dengan warna kulit tertentu, Samantha menjawab: "Jiwa seseorang menentukan sesuatu hasil."

Bahkan Samantha juga merujuk dirinya sebagai orang kulit putih sewaktu memberi respons kepada netizen.

"Jiwa kita yang memilih kehidupan ini, negara ni, bentuk diri ini khususnya untuk sebab tertentu.

"Saya sentiasa terfikir mengapa saya dilahirkan di Malaysia sebagai perempuan kulit putih oleh ibu berketurunan Cina, bapa keturunan Brazil serta datuk dan nenek India.

"Tapi saya pilih ni kerana bersebab, demi jiwa," katanya.

Dia juga pada masa sama mendakwa pernah dibuli dalam hidupnya kerana menjadi seorang perempuan berkulit putih di sekolah negara ini.

Segelintir pengguna Internet membidas kenyataan Samantha antaranya ada berkata, seseorang yang ditindas atas dasar perkauman tidak wajar menerima apa berlaku ke atas diri mereka begitu saja.

"Bagaimana kamu sebagai minoriti di sini cuba mengajar golongan minoriti di AS untuk menerima saja apa yang berlaku?

"Tiada siapa patut menerima sifat perkauman terhadap sesiapa. Kamu boleh menyedari bahawa kamu dihina kerana bangsa tapi kaum kulit hitam di AS dibunuh kerana berkulit hitam.

"Tiada siapa pilih untuk dilahirkan mengikut bangsa tertentu. Dalam kes ini orang kulit hitam ditindas secara sistematik. Kita tak ada hak untuk memberitahu bahawa mereka wajar terima apa yang berlaku begitu saja," katanya.

Selain itu, segelintir netizen turut menggesa gelaran Samantha ditarik balik disebabkan komen-komen diberikan.

Lihat Komen
ADS