Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dayang Senandung bukan untuk mainkan diskriminasi warna kulit

Penerbit drama Dayang Senandung, Fadzil Teh, berharap orang ramai tidak cepat menjatuhkan hukuman terhadap projek terbarunya itu selepas ia mencetus kontroversi akibat dikaitkan dengan diskriminasi warna kulit.

Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd itu berkata, tidak timbul isu diskriminasi kerana drama terbabit sudah pun mendapat kelulusan untuk tayangan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Selagi drama ni bersesuaian dengan kehendak stesen penyiar RTM, saya akan teruskan penggambaran drama ini,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, isu diskriminasi dikaitkan dengan Dayang Senandung timbul apabila segelintir netizen mengaitkan watak itu dengan diskriminasi warna kulit.

Ia tercetus gara-gara pelakon dan penyanyi Wani yang dimekapkan warna gelap memuat naik video tariannya melalui aplikasi TikTok.

Susulan itu, lebih 3,000 orang menurunkan tandatangan menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak penggambaran drama Dayang Senandung itu dihentikan serta-merta atas dakwaan mendiskriminasi warna kulit. 

Untuk rekod, drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd itu masih berada di peringkat penggambaran dan dijangka ditayangkan pada akhir tahun ini.

Asalnya, Dayang Senandung berkisahkan seorang puteri raja yang disumpah sejak kecil menjadi hitam. Selepas melalui pelbagai dugaan, Dayang Senandung akhirnya bertukar menjadi putih selepas sumpahan terhapus.

Fadzil Teh

Menyokong kenyataannya, Fadzil yang mesra disapa Haji Zeel berkata, sekiranya berniat untuk mempromosikan diskriminasi, sudah tentu dia memilih pelakon berkulit hitam bagi menjayakan drama berkenaan.

“Saya rasa netizen boleh tuduh rasis jika guna khidmat pelakon kulit gelap, tapi ini tidak, sebaliknya saya pilih Wani Kayrie untuk disolek jadi gelap,” katanya.

Fadzil pada masa sama tidak menolak isu diskriminasi warna kulit yang berlaku secara global berpunca dari kematian George Floyd di AS turut menyumbang kepada sensitiviti dalam kalangan warga maya ketika ini.

“Mungkin isu diskriminasi warna kulit yang tengah hangat di AS membuatkan Dayang Senandung terpalit dengan isu ni,” katanya.

Lihat Komen
ADS