Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Wani Kayrie mohon maaf muat naik klip video Dayang Senandung menari
Diterbitkan:  Jun 20, 2020 2:24 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Beranggapan dosa sesama manusia paling berbahaya, penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie, memohon diampunkan orang ramai kerana memuat naik klip video tarian di aplikasi TikTok dalam keadaan dimekapkan menjadi hitam.

Kata Wani, dia khuatir dosanya tidak diampun sekiranya gagal memohon maaf selepas melakukan kesilapan yang menyentuh sensitiviti ramai orang berhubung isu diskriminasi warna kulit yang dikaitkan dengan drama lakonannya, Dayang Senandung.

“Dosa paling bahaya adalah dosa sesama manusia, ia paling sulit kerana Allah tak akan mengampunkan selagi tuan empunya hak tidak memaafkan,” katanya di Insta Stories.

Wani sebelum itu dituduh tidak sensitif isu kepada orang kulit hitam apabila memuat naik video tariannya di TikTok tanpa menanggalkan mekap yang menampilkan dia berkulit gelap.

Susulan perkongsian itu, nama penyanyi Jangan Jangan itu menjadi sohor kini di Twitter semalam.

Suatu petisyen dalam talian juga diwujudkan bagi mendesak syarikat penerbit, Zeel Production Sdn Bhd, menghentikan penggambaran drama berkenaan.

Hasil semakan Malaysiakini hari ini, hampir 20,000 pengguna menurunkan tandatangan mereka untuk menyokong petisyen terbabit.

Rasa amat kesal

Semalam, penerbitnya, Fadzil Teh menegaskan, tiada isu diskriminasi warna kulit langsung dimainkan dalam Dayang Senandung.

Sementara itu, syarikat rakaman yang menaungi Wani iaitu Suria Records (SRC) turut membuat permohonan maaf ekoran video tarian Wani yang mengundang salah faham.

SRC dalam satu kenyataan berkata, Wani sebenarnya bukan sengaja menyolek dirinya seperti orang kulit hitam, tetapi dia muncul dalam keadaan begitu bagi menjayakan drama Dayang Senandung.

Dayang Senandung adalah sebuah kisah dongeng Melayu yang diterbitkan pada 1965 dan dijayakan seniwati Sarimah Ahmad.

“Dia dimekapkan begitu bagi mewujudkan watak tersebut yang disumpah menjadi hitam. Video berkenaan sama sekali tidak bermaksud dia ingin mempersendakan mana-mana kaum,” kata kenyataan itu.

SRC turut menjelaskan, segala video berkaitan isu itu juga sudah dipadam selain meminta kerjasama orang ramai untuk memadamkannya.

“Kami amat kesal ia menimbulkan salah faham dan akan memastikan untuk lebih berhati-hati dalam menyiarkan sesuatu kandungan berkaitan Wani di masa depan bagi mengelak timbulnya sebarang setimen lagi,” katanya.

Lihat Komen
ADS