Bintang Hollywood Megan Fox menafikan dia diserang atau dieskploitasi secara seksual sejak belasan tahun oleh pengarah terkenal Michael Bay susulan laporan uji bakat dihadirinya muncul semula dalam talian.
Megan menjelaskan perkara itu di sebalik sesi wawancara dalam program Jimmy Kimmel Live pada 2009 mengenai insiden berlaku di awal permulaan kariernya itu.
Kata Megan, sewaktu berusia 15 tahun, dia menghadiri sesi uji bakat untuk filem Bad Boys II diadakan Bay yang memerlukannya menari di bawah air terjun dengan tubuhnya hanya dibaluti bikini.
Aktres itu kemudian berjaya melepasi saringan tersebut apabila dia ditawarkan sebagai pelakon tambahan untuk babak dalam sebuah kelab malam.
Pelbagai kritikan ditujukan ke atas Bay, 55, ekoran tindakannya menjadikan Megan objek seks terutama untuk kemunculan singkat pelakon itu dalam Bad Boys II.
Dalam satu laporan berlainan diterbitkan pada 2009 pula, Megan diminta membasuh kenderaan Bay - juga sebagai salah satu syarat lulus sesi uji bakat untuk filem Transformers ketika itu.
Tindakan terbabit turut mencetuskan kemarahan ramai pihak terhadap Bay.
Bagaimanapun, Megan dilihat masih mempertahankan pengarah yang turut terkenal dengan filem seperti The Rock, Armageddon dan Pearl Harbour itu.
Megan berkata: “Walaupun menghargai sokongan tidak putus-putus itu, saya masih berasakan perlu menjelaskan beberapa perkara.”
Diketepikan kerana kehendak Spielberg
Menurutnya, dia tidak menganggap uji bakat untuk filem Transformers itu mengeksploitasinya. Selain ketika itu usianya sudah kira-kira 19 tahun Megan juga mendakwa kemunculannya bukan tanpa berpakaian.
“Saya bukan di bawah umur pada waktu tu dan tidak dipaksa untuk membasuh atau membersihkan kenderaan seseorang dalam cara yang tidak bersesuaian dengan skrip.
“Apabila bercakap mengenai pengalaman secara langsung dengan Bay dan Steven Spielberg untuk isu berkenaan, jelas saya tidak pernah diserang atau dieksploitasi dalam cara yang saya rasakan sebagai bentuk seksual,” katanya.
Namun, Megan digantikan pelakon lain dalam francais Transformers untuk perkara tidak berkaitan selepas menjayakan dua filem di bawah arahan pengarah terbabit.
Dia dipecat gara-gara menyifatkan “bekerja dengan Bay ibarat mimpi ngeri” dan pengarah itu bersikap seperti Hitler di set penggambaran - melalui dakwaan yang dibuat Megan dalam wawancara sebuah majalah.
Bay kemudian mendakwa, Spielberg yang juga penerbit eksekutif filem tersebut berkeras mahu memecat Megan. Bagaimanapun, konflik itu dilihat berjaya diatasi selepas Bay menggajinya untuk filem bikinan semulaTeenage Mutant Ninja Turtles pada 2014.
Megan menambah, kejadian dialami bersama Bay itu tidak penting jika dibandingkan dengan perjalanan sukar dan panjang yang menyaksikan dia mengalami beberapa pengalaman lebih mengerikan.
“Ada banyak nama yang boleh ditularkan tetapi biarlah ia saya simpan dalam hati yang remuk berkecai,” katanya.
