Emelda Rosmila menuntut ganti rugi lebih RM1 juta serta pampasan lain daripada Zarina Anjoulie serta menghalang pelakon terbabit atau mana-mana ejennya menerbitkan semula kenyataan fitnah yang diterbitkan sebelum ini.
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, Emelda turut menuntut agar Zarina membuat permohonan maaf secara terbuka dan disiarkan secara umum melalui media cetak, Facebook, serta Instagram pelakon terbabit.
Pemilik nama penuh Emelda Rosmila Abdul Hamid itu juga memfailkan saman dan pernyataan tuntutan balas terhadap Zarina berikutan video yang dimuat naik di Facebook.
Pada masa sama, isteri pelakon Adlin Aman Ramlee itu memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman dan pernyataan tuntutan oleh Zarina bertujuan menafikan pembabitannya daripada mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah melalui aplikasi Telegram bagi kumpulan Covid-19 Persatuan Seniman.
Emelda, 40, turut menafikan hantaran di aplikasi Instagram miliknya berbaur fitnah terhadap Zarina.
Saman dan tuntutan balas berkenaan diserahkan kepada peguam Zarina pada 9 Jun lalu. Pembelaan itu difailkan oleh peguam Emelda dari Tetuan The Law Chambers of Fauzi dan Nasser.
Emelda melalui peguamnya pada 18 Jun lalu menyerahkan saman pemula yang difailkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi memindahkan kes sedia ada di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dipindahkan ke peringkat mahkamah tinggi.
Kemelut antara kedua-dua pelakon itu bermula kesan daripada wabak Covid-19 yang menyebabkan penggiat seni berdepan pelbagai kesulitan dan sesetengahnya berbalah sesama sendiri mengenai siapa layak menerima bantuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerajaan.
