Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Caprice, Fynn Jamal kongsi pendapat isu jenayah rogol
Diterbitkan:  Jun 28, 2020 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Mutakhir ini penyanyi Fynn Jamal menjadi tumpuan di media sosial selepas mengutarakan pandangannya berkenaan jenayah rogol.

Antaranya dia berkata perbuatan wanita di media sosial, seperti menggunakan filter dan memuat naik gambar, turut menjadi punca kepada jenayah tersebut.

Pandangan itu menimbulkan kritikan ramai warga maya termasuk penyanyi Caprice yang mengundangnya dalam satu sesi langsung di Instagram semalam untuk mengulas isu tersebut.

“Benda kita buat contohnya menggunakan aplikasi Tik Tok, pakai filter dekat muka, enhance muka sampai tabarruj (berlebih-lebihan).

“Namun tidaklah bermaksud kita pakai filter kita kena rogol, tidak. Ia tidaklah secara terus begitu,” katanya.

Caprice kemudian meminta penjelasan lanjut Fynn termasuk berkenaan hubungan antara suami dan isteri.

“Adakah Fynn sangka semua wanita berhias untuk lelaki. Mak saya bersolek bukan untuk ayah saya tapi dia mahu rasa yakin.

“Tapi bila Fynn kata pakai filter jadi (berlakunya) rogol, saya keliru,” katanya.

Bagaimanapun Fynn berkata penggunaan filter di media sosial jelas untuk "menunjuk-nunjuk" dan bukan untuk keyakinan diri.

"Susah untuk saya terangkan, ia bermula dengan isu kecil tetapi berkembang jadi besar. Kita sudah normalkan benda yang tidak betul," menurut Fynn.

Bagaimanapun Caprice berkata dia masih gagal memahami bagaimana penggunaan filter boleh menjadi punca kepada jenayah rogol.

"Pendapat saya, jenayah tetap jenayah walau apa pun aplikasi (seperti) filter, Facebook, Youtube...Media sosial seperti ini boleh saja digunakan untuk membangkitkan ummah, manusia saja yang salah guna.

"Masyarakat juga turut bertanggungjawab terhadap jenayah seperti rogol. Bagi saya perogol ada sakit mental dan gila.

"Saya cuma tak dapat terima penggunaan filter ada kaitan (dan perlu dipersalahkan) untuk kes rogol," katanya lagi.

Meskipun kedua-duanya dilihat tidak bersetuju dalam perkara itu, Caprice menjelaskan tiada pergaduhan antara mereka sebaliknya mereka hanya berkongsi pendapat.

Lihat Komen
ADS