Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Safiey rasa sempurna seperti wanita walau tinggal 30 peratus tubuh 'ori'
Diterbitkan:  Jul 9, 2020 10:10 PM
Dikemaskini: 2:27 PM

Berasakan dirinya sudah sempurna seperti wanita sepenuhnya, usahawan kosmetik dan selebriti Safiey Illias mengaku dia sudah tidak perlu melakukan sebarang pembedahan lagi.

Bagaimanapun, ada 'harga' perlu dibayar Safiey sebelum dia dapat berubah menjadi seperti seorang wanita mengikut kemahuannya itu.

Katanya, tubuh badannya itu kini hanya tinggal tidak sampai separuh daripada asli selepas melakukan pembedahan dan rawatan kosmetik pada wajah, payudara dan punggung dengan kos mencecah RM1 juta hingga RM2 juta.

“Hanya 30 hingga 35 peratus saja bahagian tubuh saya ni asli,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurut Safiey atau nama sebenarnya Mohd Saifuddin Illias, doktor memaklumkan dia hanya perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan bagi mengekalkan perubahan yang dilakukan.

“Doktor pun cakap saya tak perlu buat apa-apa lagi. Hanya perlu rawatan susulan setiap enam bulan untuk mengekalkannya.

“Sekarang sudah sempurna dan tidak ada nak buat apa lagi. Apa saya mahu buat ketika ini adalah ingin memberi motivasi kepada orang ramai. Sebab ramai sebenarnya yang 'struggle' untuk cantik.

"Mereka berkongsi kepada saya masalah yang dihadapi terutama soal kecantikan. Cuma pesan saya, kalau nak buat dan mampu, pergilah buat," katanya.

Pada masa sama, penyanyi lagu Syinta Gila itu, berkata, pendedahan yang dibuat di saluran YouTube miliknya bukanlah untuk menegakkan benang basah sebaliknya ingin memberi maklumat dan pengetahuan kepada orang ramai cara bagi mendapatkan rawatan kecantikan melalui saluran yang sahih.

"Saya juga selalu mendapat mesej peribadi (DM) di Instagram yang bertanya macam mana nak mendapatkan punggung, kulit, payudara dan wajah yang cantik.

"Disebabkan itu menerusi video berkenaan saya mendidik mereka dengan perkara yang betul. Memang tak ramai yang terbuka seperti saya. Kalau nak cantik guna saluran yang betul. Jangan fikir soal murah dan terus percaya," katanya.

Sementara itu, Safiey, 26, mendakwa, proses rawatan dan pembedahan kecantikan dibuat boleh disifatkan sebagai terapi buat dirinya yang mengidapi penyakit kemurungan dan bipolar.

Katanya, sewaktu di bangku sekolah, dia bukanlah seorang pelajar popular mahupun sedap mata memandang sebab dari segi luaran fizikalnya tidak menarik selain berkulit gelap.

Bahkan, menurutnya, ustaz di sekolah berkenaan juga mengingatkan bahawa dia - seorang pondan - yang akan masuk ke neraka.

“Justeru, orang suka buli dan serang saya dengan perkara tu hingga buatkan saya kurang yakin dengan diri sendiri.

“Doktor yang merawat saya memberitahu, itu semua punca yang membuatkan saya tertekan. Makin lama makin memberontak. Jadi, apa saya buat untuk diri sendiri bukan orang lain malah jauh sekali ingin dipuji sebagai pondan cantik.

“Apabila saya buat untuk kecantikan, ia menaikkan semangat diri, tidak tertekan atau murung. Ubat depresi saya adalah kecantikan dan ini terapi terbaik,” katanya.

Lihat Komen
ADS