Isteri John Travolta meninggal dunia akibat kanser payudara
Isteri John Travolta, aktres Kelly Preston meninggal dunia selepas dua tahun bertarung nyawa melawan penyakit kanser payudara.
Berita dukacita itu disahkan jurucakap keluarga mereka hari ini.
“Pada 12 Julai 2020, Kelly Preston, seorang isteri dan juga seorang ibu meninggal dunia selepas dua tahun melawan kanser payudara.
“Memilih untuk merahsiakan perkara tersebut, Kelly menjalani rawatan perubatan, disokong anggota keluarga dan rakan-rakan terdekat.
“Dia seorang wanita yang ceria, cantik dan memiliki jiwa penyayang, mengambil berat tentang orang lain. Keluarganya memohon kerjasama orang ramai untuk memberikan mereka ruang ketika ini,” katanya dilapor Daily Mail.
Kelly, yang meninggal dunia dalam usia 57 tahun pernah berlakon dalam filem seperti Jerry Maguire yang ditayangkan pada 1996 dan baru-baru ini muncul di samping suaminya dalam Gotti.
Mendiang membawa watak sebagai isteri ketua samseng, John Gotti yang dilakonkan Travolta.
Selain filem itu, Kelly turut membintangi Battlefield Earth di samping suaminya.
Selain itu, Kelly juga pernah menjayakan Space Camp (1986), Twins (1998), Jack Frost (1999) dan For Love of the Game (1999).
Sementara itu, Travolta turut berkongsi ucapan buat mendiang isterinya melalui media sosial.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital, pelakon Lonely Hearts itu berkata, dia memohon maaf sekiranya mereka sekeluarga akan menyepi buat seketika bagi mengubati perasaan sedih ketika ini.
"Kasih sayang Kelly dan kehadirannya akan sentiasa dikenang. Saya akan meluangkan masa untuk berada di sisi anak-anak saya yang telah kehilangan ibu mereka, jadi maafkan saya terlebih dahulu jika anda tidak mendengar khabar daripada kami buat sementara waktu.
“Tetapi ketahuilah bahawa saya dapat merasakan curahan kasih sayang anda untuk minggu-minggu dan bulan-bulan akan datang hingga kesedihan kami terubat,” katanya.

