Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adam Corrie sedih saudara baru didesak macam-macam
Diterbitkan:  Jul 15, 2020 9:23 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah mengakui sering mendengar keluh-kesah mualaf yang “didesak” menjadi muslim terbaik dalam tempoh singkat.

Katanya, ramai saudara baru mengadu sedih selain ada yang hampir berputus asa apabila menerima tekanan sedemikian meskipun baru mendalami agama Islam. 

Bagaimanapun, Adam menyeru golongan itu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sebaik menukar agama masing-masing untuk memeluk Islam.

“Saya banyak dengar masalah saudara baru yang akidahnya terumbang ambing. Ada dalam kalangan mereka mengadu sedih kerana selalu didesak menjadi Muslim yang terbaik dalam masa singkat.

“Baru syahadah sudah didesak dan dipaksa menutup aurat sempurna serta silap sikit dikecam. Ada yang hampir putus asa.

“Tapi saya selalu nasihatkan. Apabila sudah diberikan hidayah Islam oleh Allah SWT, kita perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan. Islam adalah hadiah yang tak ternilai harganya. Allah SWT sayang kita,” katanya di media sosial.

Kenyataan Adam itu turut ditujukan kepada mereka yang dilahirkan Islam.

Adam turut mengingatkan mana-mana saudara baru untuk memeluk Islam ikhlas kerana Allah dan bukan disebabkan penganut-Nya.

“Kita perlu ingat, kita syahadah kerana Allah SWT, bukan kerana penganut-Nya. Islam itu indah, hamba-Nya pula banyak kekurangan,” katanya.

Selain itu, Adam juga menggalakkan agar saudara baru untuk belajar mencari kekuatan melalui kenalan yang mempraktikkan Islam.

“Apabila kita menerima kecaman, desakan dan sebagainya, kita perlu cari kekuatan. Kekuatan itu ditambah dengan kita betulkan dan perbaharui niat hanya kerana-Nya.

“Bukan kerana makhluk. Makhluk tak sempurna. Sekejap dia baik, sekejap dia sebaliknya.

“Justeru, sentiasa berada dalam kumpulan atau cari sahabat yang baik untuk terus kekal dalam suasana kebaikan,” katanya.

Pada masa sama, Adam berkata, tidak perlu terburu-buru atau gopoh dalam belajar asalkan tetap beristiqomah.

“Terus belajar tentang Islam dengan penuh adab tanpa jemu kerana ilmu dan adah adalah cahaya yang memberkati hidup kita.

“Tak perlu terburu-buru atau gopoh dalam belajar. Biar sikit tapi istiqamah. Sedikit-sedikit ada perubahan dalam hidup kita,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Harian Metro melaporkan Adam hari ini dilantik sebagai duta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan ketua ikon program Jom Celik Al-Quran hasil kerjasama MAIWP dengan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ).

Dalam perancangannya, dia berhasrat untuk membawa program Jom Celik al-Quran bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga Sabah dan Sarawak.

Lihat Komen
ADS