Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Maya Karin terima anugerah juri Aktres Terbaik festival filem antarabangsa
Diterbitkan:  Jul 21, 2020 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Maya Karin menerima pengiktirafan Anugerah Kepujian dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik (Commendation in Best Actress Category) pada Festival Filem Antarabangsa Ramsgate dan Festival TV (RIFTVFest) yang berlangsung di England, 11 hingga 24 Jun lalu.

Melalui satu kenyataan, aktres terkenal itu berkata, pengiktirafan berkenaan diperolehi menerusi lakonannya dalam filem Olympic Dream yang turut tersenarai sebagai Pilihan Rasmi (Official Selection) pada festival tersebut.

Maya, 39, yang bersyukur terhadap pengiktirafan diterimanya itu berkata, dia tidak menjangkakan apa cuba disampaikan dalam filem berkenaan boleh memberi impak kepada juri dan penonton.

“Walaupun tiada nama besar dalam filem ini, saya bersetuju untuk membintanginya kerana tertarik dengan watak Makcik Fatimah.

“Justeru, saya berasa amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak juri Festival Filem Antarabangsa Ramsgate dan Festival TV di atas pengiktirafan yang tidak saya jangkakan langsung ini,” katanya.

RIFTVFest sebuah festival filem yang berpusat di bandar pesisir Ramsgate, England. Festival tersebut memberi platform kepada pembuat filem bebas dari UK dan antarabangsa untuk berkongsi karya baru kepada orang ramai, pengedar serta memupuk bakat baru.

Sejak penganjuran pertamanya pada tahun 2017, RIFTVFest menerima penyertaan dari seluruh dunia termasuk Australia, Brazil, Iran, Martinique, Filipina, Afrika Selatan dan Taiwan serta negara-negara Eropah dan benua Amerika Utara.

Olympic Dream adalah filem terbitan Full Billion Entertainment Sdn Bhd sebuah syarikat produksi tempatan yang berpusat di Pulau Pinang.

Filem arahan sutradara Don Hoe itu menyaksikan Maya memegang watak sebagai Makcik Fatimah yang menjadi pendorong kepada anak yatim di bawah jagaannya, iaitu Anna Wong yang mengejar impian untuk menjadi seorang permain badminton negara dan bertanding pada kejohanan Olimpik.

Olympic Dream juga pernah merangkul anugerah Filem Cetera Terbaik di Festival Filem Indie Best Feature Film di Simply Indie Film Festival, Filem Cetera Terbaik di Anugerah Sinematografi Kanada dan Filem Keluarga Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kinoduel.

Pada masa sama, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-25, itu juga berkata, sejak pertama kali menerima skrip filem tersebut ia sudah memberi kesan secara peribadi ke atasnya.

“Dengan pengiktirafan ini, saya lebih bersemangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah yang saya bintangi.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pengarah dan pihak produksi yang memberi peluang untuk saya berkarya dan ruang untuk saya mendalami watak ini mengikut cara saya tersendiri,” katanya.

Lihat Komen
ADS