Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ellie pertahan penyokong Najib berhimpun depan mahkamah

Ellie Suriati Omar berkata tidak wajar penyokong Najib Razak dipersalahkan kerana berkumpul menyatakan sokongan kepada bekas perdana menteri itu di mahkamah baru-baru ini.

Menurut pengarah dan pelakon terkenal itu, insiden tersebut bukan berlaku sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu sebaliknya semasa PKP Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan banyak kelonggaran diberi.

“Jika berlaku semasa PKP, rakyat bolehlah nak marah, tetapi kami berhimpun selepas sektor pekerjaan, sekolah, kompleks beli-belah kembali dibuka kepada orang ramai.

“Masing-masing yang hadir di situ juga sudah melalui pengalaman tiga bulan berkurung disebabkan PKP.

“Mereka memakai pelitup muka, sarung tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut pelakon filem Syaitan dan Jangan Tegur itu lagi, dia memang berada dalam kalangan orang ramai itu dan menegaskan, semuanya bersurai selepas berarak mengiringi Najib.

Untuk rekod ribuan orang berhimpun di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu untuk mendengar keputusan perbicaraan melibatkan Najib.

Anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu berdepan tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana milik SRC International Sdn Bhd.

Semua saling memberi pesan

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan Najib bersalah atas semua pertuduhan dan menetapkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap satu daripada enam pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram, manakala 12 tahun untuk kesalahan salah guna kuasa.

Najib juga dikenakan denda RM210 juta.

Dia boleh dikendakan hukuman penjara lima tahun lagi jika gagal melunaskan denda berkenaan.

Mohd Nazlan membenarkan hukuman penjara berjalan serentak. Najib bagaimanapun menyatakan untuk membuat rayuan bagi sabitan tersebut.

Kehadiran ribuan orang di pekarangan mahkamah pada hari tersebut mengundang kecaman orang ramai kerana dilihat mendedahkan masyarakat kepada risiko penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan rasa kecewanya dengan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang memantau jika ada kes atau kluster baru susulan himpunan tersebut.

Beliau berkata, sebarang tanda untuk kluster yang baru akan dapat dilihat dalam masa dua minggu, iaitu tempoh inkubasi virus Covid-19.

Ellie, 50, berkata dia yakin setiap seorang penyokong Najib yang hadir pada hari tersebut cukup bertanggungjawab untuk memastikan diri masing-masing bebas daripada gejala Covid-19.

“Kami pun risau, siapa yang mahu dirinya dijangkiti? Kami saling mengingatkan antara satu sama lain supaya tidak menyertai himpunan tersebut kalau ada gejala seperti demam,” katanya.

Ellie juga berkata, kehadiran mereka beramai-ramai dilihat bertepatan dengan tujuan kerana ia bagi menyokong pemimpin yang mereka kasihi dan bukannya atas kehendak politik semata-mata.

Menurutnya, situasi tersebut berbeza jika hendak dibandingkan dengan kempen Bersatu Blackout pada 18 Julai lalu yang pada disifatkannya dibuat mengikut kehendak Dr Mahathir Mohamad.

Ellie berkata, himpunan tersebut juga dibimbangi boleh mewujudkan kluster Bersatu Blackout.

“Kalau mana-mana pemimpin politik didakwa, pasti penyokong dia turun memberikan sokongan. Kehendak untuk berada di situ disebabkan pertuduhan didakwa ke atas Najib.

“Tapi PH Blackout dibuat atas kehendak Dr Mahathir, tak ada keperluan macam kes mahkamah,” katanya.

Lihat Komen
ADS