Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bertahun hadap masalah air, Amerul tanya: Sila meninggal?
Diterbitkan:  Aug 9, 2020 4:47 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

"Kalau begini keadaannya, memang negara ini untuk orang yang berkemampuan sajalah. Yang tidak, sila meninggal? Begitu?" keluh pelakon berbakat besar, Amerul Affendi, setelah mengalami masalah tekanan air rendah berlanjutan di kawasan perumahannya.

Pelakon tersebut - yang kini menetap di Kuala Pilah, Negeri Sembilan - menjelaskan masalah tekanan air itu terpaksa dihadapi oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki pam air.

Semasa menceritakan pengalamannya itu, Amerul Affendi berkata dia sudah mengadukan masalah yang dialaminya kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains).

Membuktikan masalah itu bersama satu klip video pendek di media sosial, Amerul Affendi berkata, ada kakitangan Sains yang datang ke rumahnya untuk menukar meter di depan rumahnya.

Namun keadaan tetap sama - air mengalir kecil saja di paip.

Mereka, dakwa Amerul Affendi, kemudian memeriksa keadaan air di rumah sebelah sebelum berlalu begitu saja.

Kata pelakon One Two Jaga itu rumah jirannya tidak mengalami masalah tekanan air rendah kerana mereka menggunakan pam.

“Memanglah paip rumah orang sebelah itu OK sebab dia pakai pam air.

“Jadi kalau orang yang tak berkemampuan pulak memang kena terima sajalah keadaan ni,” katanya menerusi beberapa siri ciapan di akaun Twitter.

Kata pemilik nama sebenar Amerul Affendi Mohd Mawardi itu lagi dia dan penduduk lain di kawasan berkenaan berdepan masalah tekanan air rendah sejak lima tahun lalu.

“Nak kena buat video timba air dari Sungai Muar agaknya baru nak bagi perhatian,” katanya lagi.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak Sains bagi untuk mendapatkan maklumat lanjut namun masih belum mendapat respons.

Kera di hutan pun kerja

Selain itu, Amerul Affendi - yang turut berlakon dalam filem Pekak - turut memohon bantuan daripada Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil untuk masalah yang dihadapinya.

“Mohon perhatian YB @fahmi_fadzil seperti tweet sebelum ini.

“Ini bukan berkenaan saya seorang tapi komuniti perumahan ini dan ianya dibawah jagaan Pakatan Harapan,” katanya.

Untuk rekod, beberapa hari lalu, Fahmi - menerusi akaun Twitter - ada meminta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri supaya memberi bantuan kepada Amerul Affendi mendapatkan geran Agropeneur Muda 2.0. 

Bagaimanapun, Amerul Affendi - yang sebelum ini memuat naik gambar projek ternakannya dan gagal mendapat bantuan tersebut - hanya menzahirkan rasa terima kasih kepada Fahmi dan memberitahu dia akan berusaha dengan cara biasa tanpa mengharapkan kelebihan sebagai pelakon.

Sementara itu, Amerul Affendi menutup siri ciapan berkenaan masalah tekanan air itu dengan kata-kata ulama ternama Indonesia, Allahyarham Hamka: “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau berkerja sekadar berkerja, kera di hutan juga berkerja,” katanya. 

Lihat Komen
ADS