story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Paip pecah punca air di taman perumahan Amerul cuma meleleh
Diterbitkan:  Aug 10, 2020 3:03 PM
Dikemaskini: Aug 11, 2020 3:11 AM

Masalah air meleleh yang dialami pelakon Amerul Affendi di rumahnya terjawab hari ini apabila Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) tampil membuat penjelasan.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail, berkata isu itu timbul berpunca daripada paip pecah di kawasan berhampiran yang mengakibatkan penurunan paras dalam kolam.

Katanya hasil siasatan mendapati aduan tekanan air rendah di kawasan Taman Nesa Jalan Melang, Kuala Pilah yang dilaporkan pada 7 Ogos lalu berpunca daripada kes paip pecah di Seri Menanti.

“Sistem bekalan air Jalan Melang dan Seri Menanti adalah berpunca dari kolam utama yang sama iaitu Kolam Bukit Tinggi.

“Kejadian paip pecah yang berlaku menyebabkan paras Kolam Bukit Tinggi menurun dan seterusnya menyebabkan gangguan tekanan air rendah kepada hampir 15 buah rumah di kawasan tinggi termasuklah rumah pengadu.

“Sains memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna tempoh hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysiakini menyiarkan keluhan Amerul Affendi kerana mengalami masalah tekanan air rendah berlanjutan di kawasan perumahannya.

Air tak meleleh lagi

Pelakon One Two Jaga itu berkata, memang ada kakitangan Sains datang ke rumah untuk menukar meter apabila dia mengadu masalah dialami namun ia tidak selesai selepas itu.

Dakwa Amerul Affendi, 33, mereka kemudian memeriksa keadaan air di rumah sebelah sebelum berlalu begitu saja.

Kecewa dengan apa berlaku, pemilik nama penuh Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi itu menyifatkan masalah didepaninya mungkin hanya didepani golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki pam air.

Dia yang turut membintangi filem Mencari Rahmat berkata rumah jirannya tidak mengalami masalah tekanan air rendah kerana mereka menggunakan pam.

“Jadi kalau orang yang tak berkemampuan pulak memang kena terima sajalah keadaan ni,” katanya menerusi beberapa siri ciapan di akaun Twitter. 

Norzita berkata, Sains Kuala Pilah turut mencadangkan tindakan susulan untuk menangani isu tersebut bagi mengelak masalah tekanan air rendah berulang pada masa depan.

“Bagi tindakan jangka masa panjang, kami mencadangkan pembinaan kolam utama serta paip agihan utama bagi menampung pembangunan di kawasan tersebut.

“Bagi tindakan jangka masa pendek, Sains Kuala Pilah giat menjalankan aktiviti bagi meningkatkan semula paras kolam utama iaitu dengan mengawal injap tekanan bagi mengelakkan kejadian paip pecah, membuat penambahan bekalan dari sumber loji rawatan air berdekatan serta memantau sistem pam di kolam,” katanya.

Sains turut menyertakan gambar terkini keadaan pili di rumah Amerul Affendi yang dikatakan sudah pulih. 

Gambar berkenaan dirakam hasil kunjungan kakitangan Sains di rumah pelakon terbabit hari ini.

Lihat Komen
ADS