Pelakon yang juga bekas pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia, Abu Bakar Juah, meninggal dunia akibat barah hati, petang tadi.

Dia yang terkenal dengan pembawaan watak yang berkesan itu sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diberi kebenaran keluar dai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia kira-kira dua minggu lalu.

Anak ketika Abu Bakar, Safinas, 32, mengesahkan berita itu. Menurut laporan Harian Metro, Abu Bakar, 72, menghembus nafas terakhir kira-kira jam 6.35 petang.

Menurut portal berita berkenaan pada 2016 Abu Bakar disahkan menghidap barah usus namun dia berjaya mengatasinya selepas menjalani 12 pusingan rawatan kemoterapi.

Selepas disahkan bebas daripada penyakit itu arwah mengamalkan cara hidup sihat dengan mengambil pemakanan berkhasiat dan bersenam.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini doktor mengesahkan penyakit itu kembali menyerang malah lebih agresif hingga merebak ke hati.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rusidah Mohd Yassin, dan empat orang anak.

Semasa berkhidmat dalam kerajaan, Abu Bakar pernah menjadi pengarah Penjara Taiping, Perak.