Ashanty ajak rakyat Indonesia saling tolak ansur
Penyanyi Ashanty mengingatkan masyarakat Indonesia agar tidak melupakan semboyan bangsa mereka yang tertulis pada lambang negara, iaitu Bhinneka Tunggal Ika sempena meraikan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-75 hari ini.
Isteri penyanyi dan anggota Anang Hermansyah itu berkata demikian agar rakyat negaranya bersatu di tengah-tengah ancaman wabak Covid-19 yang masih menular.
“Semasa pandemik ni, situasi sering membuat kita mudah berselisih faham, berbeza pendapat atau fikiran akan saling menyerang satu sama lain.
“Kita sama-sama di saat mulai lelah, tak faham, kaget, bingung dan banyak hal lain lagi yang boleh buat kita saling tegang.
“Tapi perlu kita ingat, slogan negara Indonesia, Bhinneka Tunggal Ika - walapun berbeza, kita semua tetap satu,” katanya di media sosial.
Ashanty, 35, turut mengingatkan agar rakyat Indonesia saling mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain seperti hargai agama, budaya dan bangsa lain.
“Ia mengajar kita untuk tetap saling bertoleransi. Hargailah perbezaan yang bukan hanya agama dan budaya, tapi juga bahawa manusia dilahirkan berbeza-beza,” katanya.
Penyanyi Sangat Berbeda itu juga mengharapkan sempena perayaan hari ulang tahun negaranya yang ke-75 itu, mereka makin berjiwa patriotik serta bangga menjadi warganegara Indonesia.
"Menyambut #HUTRI75, marilah bersama-sama membakar semangat, bersikap nasionalisme dan bangga pada negara Indonesia serta saling bertoleransi sesama kita.
“Mari sertai #merahputihchallenge anda boleh memuat naik pakaian merah dan putih, serta menggunakan kapsyen yang menyampaikan harapan anda untuk Indonesia, “ tulis Ashanty.
Ashanty menutup hantarannya dengan menyatakan bahawa dia berbangga menjadi anak kelahiran Indonesia.
“Selamat hari kemerdekaan untuk Indonesia, dan saya bangga menjadi orang Indonesia," katanya.

