Pelakon dan pengacara Serina Redzuawan terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang menetapkan tuntutan penjagaan kedua-dua orang anaknya dengan bekas suami.

Mahkamah semalam memutuskan anak perempuan pasangan terbabit, Isabella Saffiya, tinggal bersama Serina manakala anak lelaki, Tristan Tareef dengan bapa, Gavin Edward O'Luanaigh.

“Hari ini (semalam) mahkamah putuskan anak perempuan tinggal bersama saya. Anak lelaki (Tristan) pula menetap dengan bapanya.

"Memang sedih dan terkilan dengan keputusan ini... Kasihan anak terpisah.

"Biar apa pun, kita bersangka baik dengan Allah SWT. Apa yang diaturkan, itulah yang kita kena reda.

“Moga Allah sentiasa pelihara Tristan dengan iman yang kuat dan berpegang kukuh pada agama Islam," katanya dipetik BH Online.

Serina dan Gavin - atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar - bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Walaupun berpisah, Serina berkata, dia akan sentiasa berada dekat dengan anak-anak selain berharap sengketa dengan bekas suami tidak berpanjangan.

"Tidak guna nak bergaduh dan berebut anak. Biar apa pun, anak adalah amanah yang perlu dijaga bersama. Hentikan dendam.

"Saya dan dia (bekas suami) kena fokus pada kasih sayang untuk kedua-dua anak kami," katanya.