Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tanpa kerajaan PH, Mahathir The Journey sedia hadapi segala kemungkinan

Penerbit Mahathir The Journey sudah bersedia dengan segala kemungkinan menjelang tarikh tayangan filem biopik mengenai Dr Mahathir Mohamad itu tidak lama lagi, termasuk berdepan kekangan tertentu dalam negara.

Taha Wahid - yang juga ketua bahagian pengurusan produksi filem itu - berkata, sasaran utama mereka ialah membawa filem berkenaan ke pasaran antarabangsa seperti China, Jepun, Timur Tengah dan Eropah.

Katanya nama Mahathir begitu besar dan dianggap sebagai legenda hidup.

Menurut Taha bekas perdana menteri itu dikenali di seluruh dunia, justeru tayangan yang disasarkan bukan hanya di Malaysia.

“Namun, kami juga memang dah fikirkan beberapa risiko sebelum memulakan penggambaran filem berkenaan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mahathir The Journey antaranya dijayakan pelakon Azhar Amir yang memegang watak sebagai Mahathir manakala isteri tokoh itu, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dibawakan penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff.

Ia disiapkan ketika Mahathir masih menjadi perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan. Bagaimanapun PH dijatuhkan melalui langkah sesetengah ahli parlimen berpaling tadah dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional akhir Feb lalu.

Tunggu ancaman Covid-19 reda

Ketika ini Mahathir merupakan sebahagian daripada pemimpin parti pembangkang.

Penggambaran filem itu selesai Feb lalu dan sepatutnya menjengah layar perak pada Julai. Namun kemunculan ancaman Covid-19 memaksa penerbit menundanya sehingga ke tahun depan.

Naskhah berkisahkan perjalanan hidup bekas perdana menteri keempat dan ketujuh itu digarap bermula dari 2003 hingga malam detik pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Untuk rekod, seorang lagi penerbit filem berkenaan ialah Allahyarham Yusof Kelana yang meninggal dunia 15 Ogos lalu akibat kanser kulit. 

Menurut Taha, setakat ini, Reliance Media Group sudah mendapat persetujuan pengedar filem di China untuk menayangan filem berkenaan.

“Kami sudah memeterai perjanjian dengan China, bagaimanapun sambungan kepada urus janji itu akan dibincangkan lagi bergantung kepada situasi berkaitan Covid-19.

“Mereka masih menutup pawagam dan ada baiknya kami menangguhkan dulu tayangan Mahathir The Journey manakala urusan dengan Timur Tengah, Jepun dan Korea akan diadakan sebaik Covid-19 reda,” katanya.

Pada masa sama, mengulas kebimbangan lain, Taha berkata, seboleh-bolehnya mereka ingin mendapatkan tarikh tayangan serentak dalam dan di luar negara bagi mengelak ancaman cetak rompak ke atas karya arahan Prof Dr Hatta Azad Khan itu.

Katanya, lanun cetak rompak digital paling dibimbangi kerana urusan jual beli filem berkenaan turut dilakukan di luar negara.

“Jika nak buat tayangan dalam negeri perlu serentak kerana kami bimbang akan terlepas ke YouTube atau platform digital lain.

“Tak guna jalinkan kerjasama dengan pengedar luar negara jika hal seperti itu terjadi,” katanya.

Lihat Komen
ADS