Dua legenda muzik antarabangsa meninggal dunia di AS
Dunia hiburan antarabangsa menyaksikan dua kehilangan bintang legenda hari ini.
Pertama, pengasas kumpulan Van Halen, Eddie Van Halen, 65, yang menghembus nafas terakhir selepas bertarung melawan kanser.
Berita itu diumumkan anaknya, Wolf Van Halen, melalui Twitter.
“Saya tak percaya saya sedang menulis perkara ni, tapi bapa saya, Edward Lodewijk Van kalah kepada perjuangan panjang dan getirnya kepada kanser.
“Dia adalah bapa terbaik. Setiap detik yang kami kongsi dengannya sama ada di pentas atau di luar pentas adalah yang terbaik.
“Hati saya sedih dan tak mungkin luka ni akan pulih. Saya sayangkan kamu,” ciapnya.
Pemain gitar terkenal sejak era 1970-an Van Halen itu dilahirkan di Amsterdam, Belanda sebelum dibesarkan di California, AS.
Mendiang mengasaskan Van Halen bersama abangnya yang juga pemain dram, Alex; basis, Mark Stone; dan penyanyi David Lee Roth di Pasadena, California pada 1972.
Pernah bantu Bob Marley
Menjadi antara kumpulan paling berpengaruh di AS, kumpulan itu terkenal dengan pelbagai lagu seperti Jump, Hot Teacher, Right Now, Aint Talking Bout Love dan Panama.
Selain itu, Dreams dendangan Van Halen pernah menjadi runut bunyi untuk filem Mighty Morfin Power Rangers: The Movie yang ditayangkan pada 1995.
Untuk rekod, setakat 2007, Van Halen lebih 75 juta album Van Halen terjual di seluruh dunia dan menduduki tempat pertama carta Billboard Mainstream Rock lebih 10 kali.

Menurut Recording Industry Association of America Van Halen ialah kumpulan muzik ke-19 terlaris sepanjang zaman dengan penjualan lebih 56 juta album di AS.
Van Halen meninggalkan balu Janie Liszewski - seorang pelagak ngeri bertukar menjadi pegawai seranta - dan seorang anak lelaki.
Sementara itu, industri hiburan turut bersedih dengan kehilangan pemuzik terkenal genre reggae dan pop, Johnny Nash, yang popular melalui hit I Can See Clearly Now.

Menurut BBC, berita itu disahkan anggota keluarga Nash hari ini.
Kesihatan Nash, 80, semakin merudum sejak kebelakangan ini dan dia meninggal dunia di kediamannya kerana sakit tua.
Pemuzik itu mula menyanyi sejak kecil dan membuat debut label utamanya dengan lagu A Teenager Sings The Blues pada 1957.
Nash dilahirkan di Houston, AS, dan seorang daripada penyanyi bukan Jamaica pertama merakam muzik reggae di Kingston, Jamaica.
Single I Can See Clearly Now terjual lebih daripada satu juta dan menduduki puncak carta Billboard Hot 100 pada 1972 dan kekal di situ selama empat minggu berturut-turut.
Mendiang juga pernah meraih kedudukan nombor satu di carata UK pada 1975 dengan hit Tears On My Pillow.
Menurut laman web rasminya, Nash membantu lagenda reggae Bob Marley menandatangani kontrak rakaman.
Baru-baru ini, Nash memulakan usaha memindahkan kaset analog lagu-lagunya dari 1970-an dan 1980-an ke format digital.
Mendiang juga pernah berlakon menerusi filem Take A Giant Step yang diterbitkan pada 1959, drama Key Witness (1971) dan filem romantik Sweden, Vill så gärna tro (Want So Much To Believe) juga pada 1971.
Nash meninggalkan balu dan seorang anak lelaki, Carli.

