Band terkenal Indonesia, Noah, mendermakan wang sebanyak Rp700 juta (RM198,000) kepada pemuzik dan kru yang terjejas ekonomi mereka akibat Covid-19.

Vokalis Noah, Nazril Irham atau Ariel, berkata dia bersyukur jumlah tersebut berjaya diraih melalui beberapa sumber kutipan.

“Gembira kerana banyak golongan ambil peduli dengan situasi semasa kerana mereka semua terkesan dengan pandemik ini,” katanya dipetik Tribunnews.

Wang berkenaan antaranya dikumpul daripada penjualan piring hitam edisi emas Keterkaitan Keterikatan bernilai Rp260 juta (RM73,529) yang dibeli pelakon, penyanyi dan pengacara Raffi Ahmad dan isteri, Nagita Slavina.

Terdahulu, Noah menganjurkan lelongan piring hitam edisi emas Keterkaitan Keterikatan pada ulang tahun kelapan penubuhannya.

Hasil bidaan lelongan itu, pasangan Raffi dan Nagita memenanginya manakala seorang kenalan Noah pula memberikan sumbangan tambahan Rp200 juta (RM56,560).

Selain itu, wang juga diperoleh melalui lelongan gelang peribadi Ariel yang dibeli pada harga dengan jumlah Rp10 juta (RM2,828) manakala Musica Studios - satu daripada label muzik terbesar Indonesia yang menaungi artis seperti Peterpan (nama asal band Noah dulu), Noah dan Shenafia - menyumbangkan Rp100 juta (RM28,244) lagi.

Sumbangan juga dikumpulkan hasil penjualan topeng penutup muka edisi khas Noah berjumlah Rp40 juta (RM11,312).

Keluarga Raffi dan Nagita serta Rans Entertainment turut memberi sumbangan Rp50 juta (RM14,140), manakala anak mereka, Rafathar Malik Ahmad Rp40 juta (RM11,312)

Kesemua wang tersebut diserahkan kepada wakil Road Manager Indonesia, Abdul Aziz sebelum disumbangkan kepada 580 individu berdaftar sebagai penerima bantuan.

“Penyanyi solo, pop dan dangdut, kita bersatu. Waktu ini kita ambil peduli kru dan pemuzik Indonesia seramai 580 orang,” katanya.