Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Macau Scam - Shuib biarkan orang ramai buat spekulasi

Pelawak, pelakon dan juruhebah radio terkenal, Shuib, akan membiarkan saja orang ramai membuat spekulasi mengenai dirinya ketika isu Macau Scam terus diperkatakan orang.

Pengarah Urusan Indigital Music, Nana Mohamad Rom, yang menguruskan Shuib, 35, itu berkata ia termasuklah cakap-cakap orang ramai mengenai dakwaan kenderaan mewah artis iu disita pihak berkuasa.

Katanya pemilik nama penuh Shamira Muhamad itu akan tampil memberi penjelasan sebaik semua urusan dia dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

“Shuib tak boleh beri sebarang kenyataan pada masa ini. Biarlah jika orang buat spekulasi sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan ada 730 akaun bank membabitkan wang berjumlah RM80 juta dibekukan SPRM, selain merampas wang tunai kira-kira RM5 juta kerana disyaki terlibat dalam sindiket Macau Scam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata selain itu 23 buah kenderaan mewah turut dirampas hasil pembongkaran sindiket penipuan dan judi dalam talian yang mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.

Antara kenderaan yang dirampas, katanya, ialah jenama Bentley, Mustang, Lamborghini, Porsche, Ferrari dan lain-lain, serta beberapa motosikal berkuasa besar yang semuanya dipercayai dimiliki hasil aktiviti haram.

Kegiatan penipuan Macau Scam banyak dilaporkan media sebelum ini dan melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Golongan artis turut dikaitkan dengan kegiatan Macau Scam terbabit sama ada sebagai mangsa atau dipergunakan untuk memudahkan pengubahan wang haram melalui usaha sama dan perniagaan sah.

Pada 1 Okt lalu, Shuib dipanggil SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan agen antirasuah tersebut manakala Siti Sarah hanya menemani. 

Nana berkata, orang ramai akan didedahkan dengan keadaan sebenar membabitkan Shuib tidak lama lagi.

“Insya-Allah kebenarannya akan kami bagitahu bila semuanya selesai,” katanya.

Dia juga menjelaskan, tugas Shuib sebagai penyampai radio juga masih berjalan seperti biasa.

Lihat Komen
ADS