Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Macau Scam: Dua artis terkenal dijangka dipanggil 'mengadap' SPRM
Diterbitkan:  Oct 20, 2020 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Dua artis terkenal antara yang dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan mereka berhubung sindiket Macau Scam.

Memetik sumber, Harian Metro melaporkan, artis lelaki dan wanita terbabit - yang berkecimpung dalam bidang lakonan dan pengacaraan - menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih sejuta pengikut di laman sosial.

Katanya tindakan itu diambil selepas tiada sesiapa yang datang untuk membantu siasatan secara sukarela sebelum ini.

"SPRM sudah memberi tempoh masa kepada individu terbabit untuk tampil, namun mereka berdua termasuk individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini gagal hadir memberi keterangan.

"Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan walaupun sudah diberikan masa dan peluang, artis serta selebriti disyaki terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram Macau Scam masih enggan tampil membantu siasatan.

Sumber berkata, walaupun SPRM meminta individu pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil, belum ada berbuat demikian.

Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menyeru semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.

Menurutnya arahan itu dikeluarkan bagi mengelakkan SPRM membuat penahanan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS