Pembuat filem Malaysia hasilkan trilogi Osaka
Pembuat filem Malaysia yang berpangkalan di Jepun, Lim Kah Kai ingin berkongsi impian dunia baharu yang lebih baik menerusi paparan “pokok bunga sakura yang mekar berterusan" dalam babak terakhir triloginya bertajuk “Come and Go”, yang berlatar belakangkan bandar Osaka di Jepun.
“Come and Go”, kesinambungan daripada dua filem sebelumnya iaitu “New World” dan “Fly Me to Minami” yang diterbitkan pada 10 tahun lepas, adalah filem Lim yang terbaik setakat ini dan ia memaparkan ketabahan pekerja tempatan dan asing yang berusaha untuk mencapai impian masing-masing di sebuah negara yang sedang mengalami lonjakan industri pelancongan, filem dan halal.
Lim berasa amat terharu apabila filem ini telah dipilih untuk dipersembahkan pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-33 (TIFF), yang dijadual berlangsung dari 31 Okt hingga 9 Nov.
"Festival ini adalah satu peluang bagi saya untuk memaparkan filem saya kepada penonton Jepun (layar besar) kerana kebanyakan pawagam di Jepun telah dibuka semula berikutan kelonggaran perintah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19," katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.
Lim yang kembali ke Kuala Lumpur untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada Januari tahun ini, "terkandas" buat seketika di negara ini apabila penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac. Beliau kemudian pulang ke Osaka, yang mana beliau banyak menghabiskan waktunya di sana, awal bulan ini.
Lim, 47, yang berkelulusan jurusan kejuruteraan elektrik dari Universiti Osaka pada tahun 1998, bekerja di Tokyo selama enam tahun sebelum berhenti untuk belajar selok-belok bidang pengarahan di Akademi Filem Beijing di China. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lapan filem termasuk trilogi ini.
Lim memenangi Anugerah Sumbangan Penonton dan Teknikal daripada Cineastes Organisation Osaka atas hasil trilogi pertamanya
Lapan cerita pendek
“Come and Go”, yang bersaing untuk anugerah penonton di TIFF, menampilkan lapan cerita pendek - difilemkan dengan berlatar belakang keindahan musim bunga sakura yang memukau - dengan 14 watak utama pan-Asia yang berasal dari Taiwan, Vietnam, Malaysia, Myanmar , Nepal, Hong Kong, China, Korea Selatan dan Jepun.
Filem ini mengisahkan perjuangan mereka untuk memburu keselesaan hidup di daerah perniagaan Umeda di Osaka (bandar kedua terbesar di Jepun) dengan kesemua mereka berkongsi impian yang sama untuk mencapai masa hadapan yang lebih baik.

