Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Sean Connery, pelakon 007 James Bond meninggal dunia

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Okt 2020, 2:36 tengahari

Pelakon legenda Scotland Sean Connery yang dikenali dengan watak James Bond pertama dan tujuh filem perisik itu meninggal dunia pada usia 90 tahun, lapor BBC News.

Anak aktor itu, Jason Connery dipetik berkata Sean menghembuskan nafas terakhir dengan aman ketika tidur di kediamannya di Bahamas.

"Dia sudah tidak sihat untuk beberapa waktu," katanya.

Kerjaya Sean melangkaui lima dekad dan dia pernah merangkul anugerah Oscar pada 1988 untuk lakonannya dalam filem The Untouchables.

Antara filem lakonan Sean, termasuklah The Hunt for Red October, Highlander, Indiana Jones and the Last Crusade dan The Rock.

Sean berasal dari Fountainbridge di Edinburgh, memainkan watak James Bond dalam Dr No pada 1962 dan muncul dalam lima sekuel rasmi filem itu serta produksi tidak rasmi Never Say Never Again pada 1983.

Dalam banyak tinjauan umum, Sean dikenang sebagai pelakon terbaik yang melakonkan watak agen 007 dan dikurniakan gelaran Sir oleh Queen Elizabeth pada 2000.

Sean ialah penyokong tegar kemerdekaan Scotland, dalam wawancara menjelang referendum 2014, dia berkata dirinya mungkin akan berpindah dari kediamannya di Bahamas untuk kembali menetap di Scotland jika wilayah itu memilih untuk melepaskan diri dari UK.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan