Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Roh wakili Malaysia ke Oscar
Diterbitkan:  Nov 4, 2020 2:18 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Filem genre seram Roh dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Academy ke-93, atau Oscars, dalam majlis yang dijangka berlangsung April tahun depan.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd itu dihantar untuk bertanding bagi kategori Anugerah Filem Cetera Antarabangsa.

“Sejak tahun 2004, Finas mencalonkan satu karya filem tempatan untuk bertanding di anugerah Oscars dalam kategori Anugerah Filem Cetera Antarabangsa.

“Setiap negara diminta untuk menghantar satu pencalonan filem tempatan yang terbaik untuk bertanding dalam kategori tersebut dan filem Roh meneruskan kesinambungan ini bagi edisi Oscars ke-93 nanti,” kata Finas dalam kenyataan hari ini.

Menurut Finas lagi, pihaknya telah membuka penyertaan kepada penggiat industri perfileman tempatan untuk menghantar penyertaan karya untuk dipertimbangkan bagi mewakili Malaysia dalam kategori tersebut.

“Finas menerima penyertaan yang amat memberangsangkan daripada penggiat industri filem tempatan dan pihak Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas memilih karya filem Roh untuk mewakili Malaysia ke anugerah Oscars ke-93 bagi kategori Anugerah Filem Cetera Antarabangsa,” katanya.

Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas terdiri daripada para penggiat industri filem tempatan profesional dan berpengalaman.

“Pemilihan tersebut melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan muzik, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem serta pematuhan kepada peraturan pertandingan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Oscars.

“Finas sentiasa komited dalam menyokong segala usaha ke arah memacu industri perfileman Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Berlatarkan zaman lampau, Roh mengisahkan kehadiran seorang kanak-kanak perempuan yang membawa ramalan ngeri dan kejadian aneh kepada sebuah keluarga miskin yang tinggal di hutan.

Naskhah itu dijayakan pelakon Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Nam Ron, Junainah M Lojong dan Putri Qaseh.

Ia ditayangkan di pawagam pada 6 Ogos lalu dan berjaya mengutip lebih RM200,000 dalam masa seminggu tayangan.

Lihat Komen
ADS